Polis, TUDM Siasat Dakwaan Pelatih Dibuli

2 May 2023 • 7:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mohamad Hasan ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini. - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA LUMPUR - Insiden yang didakwa melibatkan seorang pelatih dibuli di pusat latihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), minggu lalu sudah dibawa ke perhatian polis dan TUDM juga sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes tersebut.

Perkara itu disahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata, beliau dimaklumkan bapa mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian di sebuah pusat latihan TUDM di Kuantan, Pahang.

“Polis telah memasuki premis untuk menjalankan siasatan, dan pegawai penyiasat telah melakukan soal siasat. Siasatan sedang dijalankan.

“Bagaimanapun, berdasarkan siasatan polis, TUDM juga telah memulakan siasatan dalaman sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

image is not available
Mohamad Hasan

Mohamad berkata, TUDM akan memastikan siasatan terhadap kes itu meliputi semua aspek dan suspek akan dikenakan tindakan tatatertib jika didapati melakukan kesalahan yang didakwa.

Beliau mengulas dakwaan di media sosial dibuat oleh seorang individu bahawa adiknya menjadi mangsa buli oleh seniornya di pusat latihan TUDM.

Antara lain, individu itu mendakwa, adiknya telah diserang secara fizikal sehingga kehilangan pendengaran buat sementara, dibogelkan, diugut, dan diletakkan rokok yang dinyalakan pada lidahnya.

Telinganya juga disyaki digigit pelaku.

Individu itu juga mendakwa, akibat perbuatan kejam tersebut, adiknya kini takut untuk menyertai orang lain ketika waktu makan, dan hanya makan mi segera di dalam biliknya. —The Vibes, 2 Mei 2023