
SUNGAI PETANI: Polis menumpaskan satu sindiket penyelewengan diesel didalangi ‘Geng Tikus’ serta merampas kira-kira 74,600 liter bahan api itu dianggar bernilai RM162,628 dalam serbuan di beberapa lokasi di Sungai Lalang dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata dalam Op Penyeludupan Minyak Diesel Bersubsidi (Subdi) antara 1 tengah hari hingga 5.30 petang itu, 13 individu termasuk tiga warga Myanmar berumur 35 hingga 49 tahun ditahan.
“Serbuan dilakukan hasil risikan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda...susulan itu Op Subdi dibuat bersama Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sungai Petani.
“Serbuan dijalankan di sebuah premis dipercayai dijadikan gudang simpanan diesel di kawasan Perindustrian Miel Bukit Makmur, dua stesen minyak dan sebuah premis di taman perumahan Laguna Merbok,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak dua buah treler, lapan buah lori kecil, sebuah kereta pacuan empat roda, dua tangki berkapasiti 20,000 litter serta peralatan menyeleweng dirampas.
Katanya, kesemua barangan tersebut disita termasuk minyak diesel dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM459,628.
“Kesemua barang rampasan dibawa ke stor KPDN di Tunjang Jitra,” katanya.
Menurut Zaidy, modus operandi sindiket itu menggunakan kenderaan berat dalam satu tan yang diubah suai untuk pergi ke setesen-stesen minyak dan membeli diesel di kawasan berkenaan, sebelum ke gudang dan dipindahkan ke dua unit tangki di situ.
Katanya, minyak diesel yang dipercayai diseleweng itu akan dijual ke beberapa lokasi stor minyak di sempadan Malaysia-Thailand.
“Sembilan suspek yang merupakan pemandu lori diberi jaminan polis manakala seorang pemilik premis dan tiga lelaki warga Myanmar direman dua hari bermula semalam, bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. -Bernama

