Politik kemarahan, retorik pesimis di pentas Rafizi

PoliticsOpinion
18 May 2026 • 4:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Politik kemarahan, retorik pesimis di pentas Rafizi
Program pengumuman hala tuju politik Rafizi dan Nik Nazmi di Petaling Jaya pada Ahad cuba dipersembahkan sebagai sebuah gerakan politik baharu yang mewakili suara generasi muda.

PROGRAM pengumuman hala tuju politik Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad di Petaling Jaya pada Ahad cuba dipersembahkan sebagai sebuah gerakan politik baharu yang kononnya mewakili suara generasi muda serta menawarkan reformasi terhadap landskap politik dan ekonomi negara.

Dengan tema “Masa Depan Baru Bersama”, program tersebut menampilkan beberapa wakil mahasiswa serta seorang penganalisis ekonomi bagi memperkukuhkan naratif bahawa Malaysia sedang berada dalam keadaan yang sangat kritikal dan memerlukan perubahan politik secara drastik.

Dalam segmen “Suara Anak Muda”, beberapa mahasiswa daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, graduan universiti di Amerika Syarikat serta wakil dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diberi ruang untuk menyampaikan pandangan mereka.

Ketiga-tiga mereka membawa naratif bahawa generasi muda hari ini hidup dalam keadaan tertekan, kecewa dan semakin hilang keyakinan terhadap masa depan negara.

Walaupun keresahan berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan tekanan sosial sememangnya isu yang wajar diberikan perhatian, pendekatan yang digunakan dalam program tersebut terlalu menekankan unsur pesimisme dan kemarahan politik sehingga gagal memberikan gambaran yang lebih seimbang mengenai realiti sebenar negara.

Retorik bahawa anak muda “mewarisi negara yang rosak” juga dilihat sebagai satu generalisasi yang keterlaluan kerana tidak mengambil kira pelbagai pencapaian Malaysia dalam aspek pembangunan manusia, pendidikan tinggi, kesihatan awam, jaringan infrastruktur dan kestabilan sosial berbanding banyak negara membangun lain.

Hakikatnya, Malaysia masih kekal sebagai antara negara yang relatif stabil di rantau Asia Tenggara dari sudut institusi, keamanan dan daya tahan ekonomi walaupun berdepan cabaran besar sejak pandemik Covid-19.

Selain itu, beberapa wakil mahasiswa turut cuba menggambarkan bahawa generasi muda dipinggirkan, tidak dipercayai dan sedang mewarisi sebuah negara yang gagal menyediakan masa depan yang adil kepada mereka.

Naratif ini diperkukuhkan melalui penggunaan label sinikal terhadap kelompok pemimpin lama serta gambaran bahawa peluang ekonomi untuk anak muda semakin sempit.

Namun, pendekatan sedemikian lebih cenderung membina budaya politik populis dan emosional berbanding mengangkat wacana intelektual yang matang serta berorientasikan penyelesaian konkrit.

Dalam realiti semasa, pelbagai ruang penyertaan generasi muda sebenarnya telah diperluaskan dalam sistem politik dan pembangunan negara.

Antaranya termasuk pelaksanaan Undi18, penurunan had umur calon pilihan raya, peluasan akses pendidikan tinggi, pengukuhan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), pembangunan bakat digital, bantuan keusahawanan belia serta pelbagai program latihan industri dan subsidi pendidikan.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa ruang untuk anak muda terus berkembang dan bukannya semakin tertutup seperti yang cuba digambarkan dalam program tersebut.

Pada masa yang sama, cabaran ekonomi yang dihadapi generasi muda hari ini juga bukanlah fenomena unik di Malaysia semata-mata.

Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada tekanan global pasca-pandemik yang turut melibatkan inflasi antarabangsa, gangguan rantaian bekalan dunia serta ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan hampir semua negara.

Oleh itu, menggambarkan seolah-olah keseluruhan masalah ekonomi semasa berpunca sepenuhnya daripada kegagalan domestik merupakan satu pendekatan yang terlalu simplistik dan tidak mengambil kira konteks global yang lebih luas.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kecenderungan program tersebut untuk membina budaya politik berasaskan kemarahan dan sinisme dalam kalangan generasi muda.

Politik yang sihat sepatutnya mendidik rakyat agar memahami realiti pentadbiran negara secara rasional dan bertanggungjawab, bukannya menanam persepsi bahawa seluruh sistem negara telah gagal dan tidak lagi boleh diselamatkan kecuali melalui kebangkitan politik tertentu.

Keadaan ini menjadi lebih ketara dalam segmen “Analisis Ekonomi” yang dibentangkan oleh seorang penganalisis ekonomi yang cuba menggambarkan bahawa Malaysia sedang mengalami kegagalan struktur ekonomi yang serius.

Walaupun beberapa isu yang dibangkitkan mempunyai asas perbincangan akademik, cara data dibentangkan dilihat terlalu selektif dan tidak mengambil kira konteks ekonomi global serta pencapaian semasa negara secara menyeluruh.

Sebagai contoh, dakwaan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat dibentangkan tanpa penjelasan yang mencukupi mengenai kesan pandemik global, gangguan rantaian bekalan, konflik geopolitik serta tekanan inflasi antarabangsa yang turut memberi kesan kepada hampir semua negara.

Malaysia bukan satu-satunya negara yang berdepan peningkatan kos sara hidup pasca-pandemik, malah banyak ekonomi maju juga sedang bergelut dengan cabaran yang sama.

Kesimpulannya, program tersebut lebih menyerupai sebuah pentas mobilisasi politik untuk membina naratif kekecewaan terhadap sistem sedia ada berbanding forum intelektual yang benar-benar menawarkan solusi konkrit kepada negara.

Banyak kenyataan yang dibawa dalam kedua-dua segmen dilihat terlalu simplistik, emosional dan cenderung memperbesar sisi negatif negara tanpa memberikan gambaran yang menyeluruh terhadap realiti sebenar Malaysia hari ini.

Tambahan pula, tokoh utama program tersebut sendiri merupakan individu yang pernah berada dalam kerajaan dan memegang portfolio penting berkaitan ekonomi negara.

Justeru, jika benar segala kerosakan struktur yang dibangkitkan itu begitu kritikal, maka persoalan yang wajar ditimbulkan ialah sejauh mana usaha telah dilakukan untuk menyelesaikan isu-isu tersebut ketika tokoh itu mempunyai kuasa pentadbiran sebelum ini.

*Mohamad Amar Aidid Mohd Zain ialah Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Ekonomi Mahasiswa, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UUM.