
Kuala Lumpur – Pelancaran Pelan Tindakan Nasional pertama berkenaan Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS) 2025–2030 dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh peranan wanita.
Pengerusi Eksekutif POLITY, Nurul Izzah Anwar berkata, pelan berkenaan jelas mengiktiraf peranan golongan wanita dalam membina keamanan, keselamatan serta pembangunan yang inklusif dan mampan.
Menurut beliau, pelan yang dilancarkan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 9 September lalu itu turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) 1325.
“Ia juga membawa mesej bahawa suara, kepimpinan dan perlindungan wanita adalah teras dalam memastikan keamanan dan pembangunan terjamin,” katanya.
Jelas Nurul Izzah, empat tunggak utama pelan yang digariskan iaitu Perspektif, Pencegahan, Penyertaan dan Perlindungan, menyediakan rangka kerja jelas bagi menterjemahkan agenda WPS kepada rakyat.
“Cabaran terbesar bukan pada dasar, tetapi pelaksanaannya di lapangan.
“Keamanan tidak boleh sekadar kekal di atas kertas, ia mesti dihidupkan dalam isi rumah, kejiranan dan komuniti,” katanya.
Beliau menarik perhatian, pelaksanaan pelan tersebut akan menjadi fokus utama dalam Persidangan Kepimpinan Wanita Asia Tenggara 2025: Wanita, Keamanan & Keselamatan anjuran POLITY pada 30 September depan.
“Persidangan ini akan menampilkan tokoh serantau seperti Dwi Rubiyanti Kholifah, Profesor Tan Sri Jemilah Mahmood dan Dr Amina Rasul-Bernardo.
“Keamanan tidak pernah datang sebagai jaminan. Ia harus sentiasa dipelihara, dan dalam setiap langkah perjalanan ini, wanita mesti menjadi nadi penggerak,” katanya. - Getaran, 11 September 2025


