
TANJUNG MALIM – Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) mempunyai jaringan 23,580 rakan industri sebagai akses bagi pembentukan kurikulum, latihan industri dan pensijilan profesional graduan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, industri membentuk bakat yang mereka perlukan termasuk memberi pendedahan kepada teknologi serta amalan terkini di tempat kerja.
“Justeru, kita perlu membina kepakaran mengikut kekuatan institusi. Saya ambil contoh, Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah Bagan Datuk terus diperkasa sebagai institusi TVET maritim strategik negara.
“Jadi, jaringan ini mesti diterjemahkan kepada penglibatan yang lebih mendalam dalam pembentukan kurikulum, latihan industri dan pensijilan profesional dengan latihan dan pensijilan yang memenuhi keperluan industri serta standard antarabangsa,” katanya dalam ucapannya di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik & Kolej Komuniti Zon Tengah 2026.
Beliau berharap, kejayaan 55 graduan politeknik yang menamatkan latihan di Kolej Vokasional dan Teknikal Keretapi Liuzhou, China pada 5 September lalu dapat diperluaskan ke seluruh POLYCC.
Seramai 6,862 individu diraikan pada majlis konvokesyen tersebut yang merangkumi 29,609 graduan politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE
The post POLYCC punyai jaringan 23,580 rakan industri appeared first on Kosmo Online.

