Pondok proses ketum diserbu, tiga lelaki ditahan

1 Jun 2026 • 9:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pondok proses ketum diserbu, tiga lelaki ditahan
Tiga lelaki diberkas dalam serbuan di Kampung Kubang Bemban, Tumpat pada Isnin. Foto: PGA

TUMPAT - Sebuah pondok yang dipercayai dijadikan lokasi memproses, menyimpan dan menjual air ketum sejak dua tahun lalu di Kampung Kubang Bemban, di sini diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Isnin.

Dalam serbuan Op Taring Wawasan kira-kira jam 1.30 petang itu, tiga lelaki berusia antara 38 hingga 51 tahun diberkas ketika sedang berada di pondok berkenaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Strike Force Sektor C Pengkalan Kubor yang menjalankan rondaan telah mengesan ketiga-tiga suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan di dalam pondok tersebut menemukan 15 liter air ketum, tiga kilogram daun ketum serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan.

"Turut dirampas dua periuk, sebuah kotak gabus, satu unit dapur bersama hos dan dua tong gas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,130.

"Ketiga-tiga suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Ujar beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek mendapati mereka negatif dadah.

Menurut Ahmad Radzi, siasatan awal mendapati suspek mengaku merebus air ketum di pondok tersebut untuk kegunaan sendiri sejak tahun 2024 selain menjadi lokasi rakan-rakan mereka mendapatkan minuman berkenaan.

"Daun ketum yang digunakan dipercayai diperoleh dengan mengutipnya di sekitar kawasan pondok terbabit.

"Kesemua suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut," katanya.

Tambah beliau, PGA akan terus memperhebat rondaan dan pemantauan di kawasan sempadan serta lokasi berisiko bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan penjualan air ketum.