Populariti Proton melonjak di Brunei, catat jualan 13,000 unit tertinggi dalam sejarah
zulfadli
22/09/2023 - 12:46
KUALA LUMPUR 22 Sept - Populariti model Proton melonjak di Brunei dalam beberapa bulan kebelakangan ini dengan pasaran berjaya mencapai paras tertinggi dalam sejarah.
Kumpulan pertama unit Proton X90 dijual dengan pantas dan model lain turut diminati pembeli dalam pasaran dengan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) tahunan sebanyak 13,000 unit.
Bagi Ogos, jualan kenderaan Proton mencecah paras tiga angka buat kali pertama apabila 100 unit didaftarkan.
Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata, prestasi jualan kereta Proton yang kukuh di Brunei tahun ini adalah hasil daripada kekuatan barisan model serta usaha pengimport.
"Dari segi budaya, terdapat banyak persamaan antara pembeli kereta di Brunei dan Malaysia, dan jenama Proton mempunyai sejarah yang panjang di negara ini, oleh itu kami sangat gembira melihat Proton masih boleh mengalami pertumbuhan jualan dalam pasaran yang matang," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, Proton X90 dilancarkan di tiga pasaran eksport yang mana Mauritius merupakan negara pertama yang menerima model SUV keluarga premium berkenaan.
Ia diperkenalkan pada 4 Ogos lalu di Le Salon de L' Automobile, SVICC, Pailles. Diikuti dengan Afrika Selatan, Proton X90 dipamerkan di Festival Permotoran di Litar Grand Prix Kyalami dari 25 hingga 27 Ogos lalu.

Pada hari sama, Proton Brunei melancarkan Proton X90 di majlis pelancaran besar-besaran yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah dan Pengerusi Pengimport dan Pengedar Proton, Pad dan Econ Motors, Tan Kah Boon.
Steven berkata, tahun 2023 mencabar perniagaan eksport Proton kerana kebanyakan pasaran eksport mereka mengalami cabaran ekonomi yang mengakibatkan kawalan ketat pasaran modal.

"Bagaimanapun, usaha kami untuk meneroka peluang dalam pasaran lain diteruskan dengan kerja-kerja asas sedang dijalankan di Fiji, Ghana, Trinidad dan Tobago, dan Iraq.
"Pada masa sama, kami kekal fokus untuk mengembangkan kehadiran dalam pasaran eksport semasa. Pelancaran Proton X90, Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama syarikat, dalam tiga pasaran eksport berlangsung hanya tiga bulan selepas pelancarannya di Malaysia pada 7 Mei dan ini membantu meningkatkan imej jenama PROTON di pasaran tersebut," katanya.

Tambah beliau, pihaknya melihat ia sebagai pelaburan demi masa depan kerana ia akan membolehkan mereka mengambil kesempatan keadaan pasaran yang bertambah baik pada masa hadapan. - DagangNews.com



