liza24/04/2026 - 18:34 Bugatti W16 Mistral Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 April – Porsche AG melupuskan semua pegangan ekuitinya dalam Bugatti Rimac kepada konsortium pelaburan antarabangsa yang diketuai oleh BlueFive Capital, sekali gus menandakan perubahan besar dalam struktur pemilikan jenama automotif mewah tersebut.
Pengeluar kenderaan dari Jerman itu sebelum ini memegang 45% kepentingan dalam Bugatti Rimac, sebuah usaha sama yang ditubuhkan pada tahun 2021 bersama Rimac Group bagi memacu pembangunan jenama Bugatti dalam era elektrifikasi dan teknologi prestasi tinggi.
Di bawah struktur sedia ada, Rimac Group memiliki 55% kepentingan dalam Bugatti Rimac, manakala Porsche turut memegang 20.6% pegangan dalam kumpulan teknologi automotif yang berpangkalan di Croatia itu.
Menerusi urus niaga terbaharu ini, Porsche akan menjual keseluruhan pegangan dalam kedua-dua entiti tersebut kepada konsortium yang diketuai oleh HOF Capital, dengan BlueFive Capital muncul sebagai pelabur terbesar dalam perjanjian berkenaan.
Perkembangan ini dilihat tidak memberi kesan langsung kepada kepentingan Tan Sri Vincent Tan melalui Berjaya Corporation Berhad yang memiliki HR Owen di United Kingdom, memandangkan operasi pengedaran kenderaan ultra mewah tersebut kekal tertumpu kepada jualan runcit seperti Bugatti tanpa bergantung kepada struktur pemilikan pengeluar.
Langkah itu membuka laluan kepada Rimac Group untuk mengambil alih sepenuhnya Bugatti Rimac dan membentuk kerjasama strategik baharu dengan BlueFive Capital dan HOF Capital bagi menyokong pertumbuhan masa hadapan syarikat.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BlueFive Capital, Hazem Ben-Gacem berkata pelaburan dalam Bugatti bukan sekadar transaksi kewangan, sebaliknya mencerminkan keyakinan terhadap nilai jenama ikonik yang menggabungkan estetika dan prestasi.
Menurut beliau, pihaknya komited untuk bekerjasama rapat dengan pasukan Bugatti Rimac bagi memastikan legasi jenama tersebut terus dipelihara dan diperkukuh untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Porsche AG, Dr. Michael Leiters berkata, usaha sama dengan Rimac Group telah berjaya meletakkan asas kukuh bagi masa depan Bugatti sejak penubuhannya beberapa tahun lalu.
Beliau menambah, sebagai pelabur awal dalam Rimac Group, Porsche telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Rimac Technology sebagai syarikat teknologi automotif Tahap-1 yang berdaya saing di peringkat global.
Namun, susulan pelupusan pegangan tersebut, Porsche kini akan menumpukan perhatian kepada perniagaan terasnya, selari dengan strategi jangka panjang syarikat dalam memperkukuh kedudukan dalam industri automotif global.
Ketua Pegawai Eksekutif Bugatti Rimac, Mate Rimac pula menyifatkan Porsche sebagai rakan kongsi penting dalam membangunkan asas syarikat dan menyambut baik kehadiran pelabur baharu bagi mempercepatkan pelaksanaan visi jangka panjang kumpulan itu.- DagangNews.com


