
Kereta Jenama Mewah Terbakar
Porsche Mewah Rentung di Kota Samarahan, Tiada Mangsa Dilaporkan. Sebuah kereta mewah jenis Porsche musnah sepenuhnya dalam satu insiden kebakaran yang berlaku di Jalan Datuk Mohammad Musa petang tadi.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, Nur Affandy, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.30 petang sebelum tujuh orang anggotanya digerakkan ke lokasi kejadian.

Bomba Kawal Kebakaran Porsche Dalam Masa Kurang Satu Jam
“Sebaik tiba di lokasi, kami dapati kereta tersebut sedang terbakar dengan marak. Kenderaan jenis Porsche itu telah terbakar keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Pasukan bomba bertindak pantas menggunakan dua aliran salur bantu mula yang disambungkan kepada jentera bomba bagi mengawal dan memadamkan api. Operasi pemadaman berjaya dikawal dan api dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 6.14 petang.
Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian ini dan menurut Nur Affandy, punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
“Sebaik memastikan tiada lagi sisa api atau unsur berbahaya, pasukan kami berundur dari lokasi dan menyerahkan tindakan lanjut kepada pihak polis,” tambahnya.
Kejadian ini menarik perhatian orang awam yang lalu di kawasan tersebut, namun mujur tiada kecederaan dilaporkan.
Baca juga cerita semasa di bawah:


