Pos Malaysia Melancarkan Zelos – Robot Penghantaran Barang Pukal Swapandu

LocalTechnology
21 Jan 2026 • 10:34 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pelbagai syarikat logistik telahpun mula menggunakan robot swapandu untuk operasi seharian mereka. Dari sistem agihan bersepadu dimana robot-robot ini membantu agihan di gudang, seterusnya penghantaran kepada pengguna, teknologi logistik ini semakin berkembang pesat. Hari ini Pos Malaysia telah memperkenalkan Zelos, iaitu robot penghantaran dan akan menjadi salah satu kenderaan pengeposan mereka.

image is not available

Hasil kerjasama Pos Malaysia dan juga Automotive Logistic Solutions Sdn Bhd ini, robot penghantaran Zelos akan melalui ujian terlebih dahulu selama 3-6 bulan dalam dua fasa, dengan fasa pertama di Pusat Mel Nasional, kemudiannya fasa kedua di beberapa lokasi seperti Cyberjaya yang mempunyai jalanraya yang sesuai untuk ujian swapandu. Robot ini dihasilkan bertujuan untuk pengeposan pukal dan barangan bersaiz besar, dan juga boleh digunakan sebagai penghantaran barangan antara cawangan Pos Malaysia. Zelos ini juga merupakan robot pengeposan yang popular di China, dan syarikat Automotive Logistic Solution akan terlibat dalam menyesuaikan penggunaan robot ini untuk kegunaan Pos Malaysia.

image is not available

Robot penghantaran ini mempunyai penarafan swapandu logistik tahap 4, dimana ia membolehkan operasi logistik dan pengeposan dilakukan sepenuhnya tanpa pemandu namun dalam kawasan yang terkawal dan dipantau pasukan Pos Malaysia. Ia lengkap dengan pelbagai sensor antaranya sensor LIDAR, kamera pemantauan, sensor lampu isyarat, dan sekiranya terdapat kecemasan, terdapat pasukan yang akan mengambil alih kawalan dari jarak jauh. 

image is not available

Robot penghantaran ini juga mempunyai jarak operasi sejauh 210km dengan bateri yang boleh menyokong pengecasan DC sepantas 3 jam, atau pengecasan AC sekitar 5-7 jam. Ia mampu membawa muatan sehingga 1500kg dengan ruang seluas 10m persegi, dengan kelajuan maksimum 55 km/j.

Dengan pelancaran robot penghantaran Zelos ini ia akan menyertai armada pengeposan Pos Malaysia yang sedang dinaiktaraf secara berperingkat selari dengan sasaran mereka ingin menjadi syarikat bebas karbon. Sehingga kini lebih dari 1500 kenderaan pengeposan Pos Malaysia dikuasakan elektrik, dan dengan robot penghantaran ini juga semestinya akan memudahkan operasi pengeposan mereka.

image is not available