POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan penghantaran bungkusan nasional menyatukan perkhidmatan kurier domestik dan antarabangsanya di bawah jenama Pos Laju sebagai sebahagian daripada transformasi berterusan syarikat untuk menyokong perniagaan Malaysia berkembang merentasi sempadan.
Dengan pengalaman lebih 200 tahun menghubungkan masyarakat dan perniagaan, Pos Malaysia telah lama memainkan peranan dalam memudahcara perdagangan di peringkat tempatan dan global.
Penyatuan ini mencerminkan fasa seterusnya transformasi syarikat, dengan memudahkan cara perniagaan mengakses perkhidmatan penghantaran sambil memperkukuh Pos Laju sebagai platform tunggal yang dipercayai untuk penghantaran domestik dan antarabangsa.
Di bawah penyatuan ini juga, semua perkhidmatan kurier akan ditawarkan di bawah jenama Pos Laju, meliputi penghantaran tempatan dan global melalui satu titik akses yang lebih mudah untuk pelanggan.
Ketua Pegawai Jualan Kumpulan Pos Malaysia, Charles William berkata, penyatuan ini bukan sekadar membolehkan perniagaan menjual secara dalam talian, tetapi membantu mereka berkembang dan meningkatkan skala operasi dalam talian.
Menurut beliau, e-dagang hari ini bukan lagi sekadar menjual secara dalam talian, tetapi tentang bagaimana untuk berkembang secara cekap dan menghantar produk dengan boleh dipercayai kepada pelanggan di mana sahaja mereka berada.
“Dengan Pos Laju sebagai platform tunggal, kami menjadikan peralihan daripada penghantaran domestik kepada perdagangan rentas sempadan lebih mudah untuk perniagaan, sambil menyokong mereka melalui ekosistem menyeluruh daripada pemenuhan pesanan hingga penghantaran terakhir (final-mile).
"Ini membolehkan perniagaan memberi tumpuan kepada pertumbuhan, sementara kami menguruskan kerumitan operasi di sebaliknya.
“Dengan lebih 200 tahun kepakaran dalam penghantaran, Pos Malaysia menggabungkan kekuatan rangkaian pos global dengan rakan penghantaran komersial yang dipercayai, disokong oleh pasukan berpengalaman yang memahami selok-belok penghantaran rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, ini membolehkan Pos Malaysia membimbing dan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang ke pasaran serantau dan global dengan lebih yakin.
“Pada akhirnya, usaha ini adalah untuk menyediakan laluan lebih jelas dan mudah diakses bagi perniagaan Malaysia untuk berkembang melangkaui sempadan dan bersaing di pentas yang lebih besar,” katanya.
Jelasnya, langkah ini diambil ketika semakin banyak perniagaan Malaysia, khususnya PKS, melihat peluang pertumbuhan di luar pasaran domestik.
Dengan perkembangan pesat e-dagang rentas sempadan, penyelesaian logistik yang mudah dan boleh dipercayai kini menjadi keperluan penting bagi perniagaan yang ingin menembusi pasaran baharu.
“Pos Malaysia telah berada di barisan hadapan dalam menyokong pertumbuhan e-dagang negara melalui Pos Laju, membolehkan perniagaan menghantar produk kepada pelanggan di seluruh negara.
“Berasaskan kekuatan ini, syarikat kini menyediakan akses ke pasaran global melalui gabungan rangkaian pos dan penghantaran komersial yang luas, meliputi sehingga 230 negara dan wilayah,” katanya.
Dalam pada itu, selain perkhidmatan penghantaran, Pos Malaysia turut menyokong perniagaan melalui ekosistem e-dagang yang lengkap, termasuk keupayaan pemenuhan pesanan seperti penyimpanan, pengambilan dan pembungkusan (pick-and-pack), serta penyelesaian penghantaran bersepadu.
Ini membolehkan perniagaan memberi tumpuan kepada pertumbuhan jualan, manakala Pos Malaysia menguruskan kerumitan proses pemenuhan pesanan dan logistik.
Penyatuan ini turut disokong prestasi operasi yang semakin kukuh, dengan kadar penghantaran bungkusan domestik hari berikutnya (D+1) Pos Malaysia meningkat kepada 92 peratus pada 2025, mencerminkan kemajuan berterusan dalam aspek kebolehpercayaan perkhidmatan.
Penjenamaan semula ini turut menyokong strategi lebih luas Pos Malaysia untuk menawarkan platform logistik yang lebih bersepadu dengan menggabungkan perkhidmatan kurier, pemenuhan pesanan dan perkhidmatan berkaitan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan pada setiap peringkat.
Pelaksanaannya akan dijalankan secara berperingkat merentasi platform digital, cawangan runcit dan saluran perniagaan bagi memastikan peralihan yang lancar kepada pelanggan.






