Poster hina Mursyidul Am Pas: Pemuda Pas Selangor kecam tindakan Kah Leong

LocalPolitics
21 Nov 2025 • 3:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamed Sukri (tiga dari kiri) menunjukkan memorandum bantahan berhubung tindakan Kah Leong.

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mengecam tindakan biadab Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong yang didakwa menghina Mursyidul Am Pas melalui poster tidak berakhlak ketika sedang menerima rawatan di hospital.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, perbuatan itu bukan sahaja memalukan, malah menunjukkan kewujudan budaya politik tidak bertamadun dalam kalangan pemimpin muda.

Menurutnya, penghinaan terhadap seorang pemimpin yang sakit adalah tindakan keterlaluan dan mencerminkan akhlak politik semakin merosot.

"Ini tindakan biadab dan tidak berakhlak. Politik seperti ini lapuk, tidak matang dan tidak wajar dibiarkan menjadi budaya negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohamed Sukri berkata, pemuda Pas Selangor bersama Siswa Pas hadir ke Pejabat DAP bagi menyerahkan memorandum bantahan sebagai mesej jelas bahawa politik Malaysia mesti dibina atas asas adab, hujah dan tanggungjawab serta bukan provokasi murahan.

Mohamed Sukri menegaskan, tindakan Kah Leong turut menjejaskan persepsi generasi muda terhadap politik serta menambah muak rakyat terhadap gaya politik hina dan provokatif.

Menurutnya, Pemuda Pas komited mengangkat Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dan menyifatkan penghinaan itu bercanggah sepenuhnya dengan nilai tersebut.

Beliau turut menggesa Kah Leong memohon maaf secara terbuka serta menarik balik poster berkenaan, selain mendesak Pemuda DAP itu memperbaiki budaya politik mereka.

"Kami tegas menolak politik jijik. Masa depan negara mesti dibina dengan politik beradab dan bermaruah,” katanya.