Poster pemberian bantuan kepada rakyat palsu: Fahmi

LocalPolitics
27 Nov 2022 • 8:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara poster palsu yang disebar dalam aplikasi WhatsApp. - Foto Twitter Fahmi Fadzil

SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, poster yang tular menerusi aplikasi WhatsApp berkaitan pemberian bantuan kepada rakyat adalah berita palsu.

Menerusi gambar yang dikongsi di Twitter, berita palsu yang dipaparkan adalah pemberian bantuan sara hidup (BSH) diteruskan, bantuan khas RM700 dikreditkan sebelum akhir tahun, program bantuan makanan MyKasih RM100 selama tiga bulan dan meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khas secara bersasar.

"Banyak berita palsu sedang disebar dalam WhatsApp.

"Perdana Menteri baru adakan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pertama hari ini, tiada pengumuman seperti ini. Harap maklum," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad memberikan tempoh selama dua minggu kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji dan melihat implikasi jika subsidi bersasar dilaksanakan melibatkan beberapa keperluan utama rakyat negara ini.

Menurutnya, buat masa ini beberapa subsidi yang dilaksanakan seperti minyak dan tarif elektrik dimanfaatkan oleh semua rakyat termasuk golongan kaya dan industri besar.