Potongan gaji RM5 sebulan gerakkan amalan berwakaf

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 3:01 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Potongan gaji RM5 sebulan gerakkan amalan berwakaf

PEKAN – Wakaf Pahang akan melaksanakan gerakan secara besar-besaran bagi membudayakan amalan berwakaf antaranya melalui sumbangan secara konsisten sebanyak RM5 sebulan melibatkan pekerja muslim.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP), Dr. Mohd Azmi Othman berkata, potensi untuk memperluas budaya berwakaf melalui potongan gaji bulanan amat besar sekiranya mendapat kerjasama penuh daripada majikan.

“Seandainya 579,500 tenaga kerja Muslim menyertai kempen potongan gaji RM5 sebulan, potensi kutipan yang boleh dijana untuk 47 projek sedia ada boleh diselesai dalam tempoh dua tahun.

“Melangkah ke hadapan, Wakaf Pahang perlu memperluas penyertaan masyarakat melalui pendekatan wakaf secara bersasar, mudah dan inklusif,”katanya pada Majlis Perasmian Seminar Wakaf Irsod yang disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di sini hari ini.

Tambahnya majikan diminta memberi galakkan kepada kakitangan masing-masing melaksanakan potongan gaji wakaf serendah RM5 sebulan yang sekaligus layak mendapat pengecualian cukai sebanyak 10 peratus.

Selain itu katanya, kempen satu keluarga satu wakaf juga perlu dipergiatkan bagi menggalakkan keluarga muslim memiliki komitmen dan sumbangan wakaf sebagai legasi kebajikan berpanjangan untuk generasi akan datang melalui masjid-masjid.

Mengulas mengenai kutipan wakaf, beliau memberitahu sehingga 31 Oktober ini kutipan wakaf berjumlah RM5.9 juta meningkat sebanyak 39 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Bersempena perasmian seminar hari ini, Wakaf Pahang akan menerima dua wakaf Irsod dan dua serahan Tabung Wakaf Masjid dengan nilai RM3.1 juta,”ujarnya.

Dalam pada itu katanya, sejak pengurusan dan pentadbiran Wakaf Pahang diintegrasikan bersama Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) pada 2022, institusi wakaf di negeri Pahang telah melalui fasa transformasi dan perkembangan yang semakin memberangsangkan, khususnya dari aspek pembangunan projek, perluasan penyertaan pewakaf serta pengukuhan dana wakaf.

Katanya, sehingga Oktober 2026, sebanyak 17 projek wakaf bernilai RM8.7 juta telah berjaya disempurnakan dan dimanfaatkan oleh masyarakat.

“Pada masa yang sama, sebanyak 47 projek wakaf dengan nilai keseluruhan RM68.4 juta sedang berada dalam portfolio pembangunan Wakaf Pahang untuk direalisasikan secara berperingkat.

“Dalam tempoh empat tahun (2022-2026) Wakaf Pahang telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM18.4 juta daripada 11,796 orang pewakaf, termasuk 4,601 pewakaf baharu sehingga Oktober 2026,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi UDA Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, UDA akan sama sama berusaha dan menerokai peluang membangunkan wakaf Irsod di Pahang.

Ujarnya, seminar ini diharap dapat memperluas kefahaman, membina kesepakatan hala tuju serta memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri, institusi agama, agensi-agensi berkaitan dan pemegang amanah strategi. – KOSMO! ONLINE

 

The post Potongan gaji RM5 sebulan gerakkan amalan berwakaf appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved