Potongan sewa premis PBT 30 peratus beri kelegaan kepada peniaga kecil

LocalBusiness & Finance
6 Jul 2026 • 11:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Potongan sewa premis PBT 30 peratus beri kelegaan kepada peniaga kecil

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pengurangan 30 peratus kadar sewa premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diumumkan Kerajaan Negeri disifatkan mampu memberi nafas baharu kepada peniaga kecil yang kini berdepan peningkatan kos operasi dan penyusutan perbelanjaan pengguna.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Selangor, Hanim Mohd Said berkata inisiatif itu amat dialu-alukan kerana kadar sewa premis merupakan antara komitmen bulanan terbesar yang perlu ditanggung peniaga.

Menurutnya, peniaga ketika ini bukan sahaja berdepan kenaikan harga barang mentah, malah turut merasai kesan perubahan corak perbelanjaan pengguna yang lebih berjimat.

Image from: Potongan sewa premis PBT 30 peratus beri kelegaan kepada peniaga kecil
Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Selangor, Hanim Mohd Said

“Jumlah pelanggan kini juga tidak serancak seperti sebelum ini kerana orang ramai lebih berhati-hati berbelanja dan mengurangkan makan di luar. Peniaga masih memperoleh keuntungan walaupun tidak setinggi dahulu.

“Diskaun 30 peratus ini satu angka yang besar bagi peniaga ketika ini. Harga barang basah semakin meningkat, jadi setiap penjimatan yang diberikan amat membantu mengurangkan beban kami,” katanya kepada Media Selangor.

Hanim berkata kebanyakan peniaga yang beroperasi di premis PBT membayar kadar sewa sekitar RM600 sebulan, justeru potongan 30 peratus mampu memberikan penjimatan yang signifikan kepada mereka.

Beliau berkata penjimatan itu boleh digunakan untuk menampung kos operasi lain yang semakin meningkat, sekali gus membantu peniaga mengekalkan kelangsungan perniagaan.

Pada masa sama, Hanim merakamkan penghargaan kepada Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari atas keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan peniaga kecil.

“Dahulu peniaga kecil kurang diberi perhatian, tetapi kini kami melihat Kerajaan Negeri memberikan perhatian khusus terhadap kebajikan dan keperluan peniaga.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar atas inisiatif yang amat bermakna ini,” katanya.

Pada 19 Jun lalu, Dato' Menteri Besar mengumumkan pengurangan kadar sewa premis PBT sebanyak 30 peratus selama enam bulan, bermula Julai hingga Disember.

Amirudin berkata inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu bertujuan membantu peniaga menghadapi kesan krisis bekalan dan tenaga global, selain dijangka memberi manfaat kepada 21,234 peniaga.

Menurutnya, sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan bantuan itu yang akan diberikan secara automatik tanpa memerlukan sebarang permohonan daripada peniaga.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved