
Di sebalik popularitinya sebagai pelakon, Ungku Ismail Aziz menyimpan minat mendalam serta kemahiran asas dalam dunia teknologi dan pembangunan aplikasi.
Minat itu jugalah yang mendorongnya menghasilkan Power Congak, sebuah aplikasi pembelajaran Matematik yang pada awalnya dibangunkan khusus untuk membantu anak sulung isterinya, Nad Zainal iaitu Fahad Ibrahim menguasai kemahiran asas pengiraan.
Bermula sebagai usaha seorang bapa untuk memudahkan proses pembelajaran anak, kini aplikasi itu berkembang menjadi platform pendidikan digital yang mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa di seluruh negara.
“Idea Power Congak ini sebenarnya untuk anak saya. Apabila dia masuk Darjah Satu, saya sedar bukan semua anak dikurniakan kebolehan belajar yang luar biasa. Kalau ada, itu satu anugerah. Kalau tiada, kita sebagai ibu bapa kena bekerja lebih keras dan memberi lebih banyak latihan.Masalahnya, setiap kali hendak tambah latihan kita perlu beli buku baharu. Jadi, saya fikir, memandangkan saya seorang video game developer, saya bangunkan satu aplikasi khas untuk dia.
“Pada mulanya nama aplikasi ini Yem Genius sempena nama Ibrahim. Dalam aplikasi itu ada Matematik, Sains dan Bahasa. Kemudian, Nad memuat naik gambar Ibrahim menggunakannya di Instagram. Ramai pula bertanya dan mahu menggunakannya.
“Dari situlah saya mengambil keputusan untuk mengkomersialkan aplikasi ini. Sekarang Power Congak sudah berusia dua tahun. Pada 8 Mei lalu genap dua tahun,” katanya kepada Pancaindera.
Ungku menjelaskan Power Congak dibangunkan khusus bagi melatih kemahiran congak melalui latihan yang berulang, selain mahu menjadikan Matematik lebih menyeronokkan.Power Congak memang fokus kepada Matematik. Apabila seseorang mahir aritmetik, cara dia berfikir dan memberi tumpuan juga menjadi lebih baik. Termasuklah kita orang dewasa, otak kita ini cepat karat.
“Ramai fikir mereka semakin perlahan kerana faktor usia. Hakikatnya bukan. Kita cuma kurang melatih otak menjadi lebih fokus. Jadi, aplikasi ini latihan untuk tajamkan kemahiran mereka. Kanak-kanak boleh mula menggunakan aplikasi ini sebaik sahaja mengenali nombor dan operasi asas Matematik. Mereka perlu menguasai pengiraan satu digit sehingga jawapan keluar secara spontan tanpa menggunakan jari.
“Sistem dalam aplikasi ini ada pemasa, semakan jawapan dan latihan berulang supaya mereka benar-benar menguasai sesuatu operasi Matematik. Saya juga memasukkan elemen permainan video, tetapi mereka perlu menyiapkan latihan terlebih dahulu sebelum dibenarkan bermain,” kongsinya.

Mengulas mengenai sambutan pengguna, pelakon berusia 41 tahun itu mengakui tidak menyangka aplikasi yang dibina secara bersendirian itu menerima pelbagai maklum balas positif, termasuk daripada ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami masalah spektrum autisme.
“Ada ibu bapa berkongsi markah Matematik anak mereka meningkat daripada 35 kepada 85 selepas menggunakan aplikasi ini.
“Ada juga ibu bapa memberitahu anak mereka yang mengalami spektrum autisme sangat suka menggunakan Power Congak kerana sebelum ini mereka langsung tidak berminat membuat latihan menggunakan buku.
“Kalau ada ulasan negatif sekali pun, kebanyakannya berpunca daripada masalah pelayan (server), bukannya keberkesanan aplikasi. Malah ramai meminta saya menambah lebih banyak ciri baharu,” jelasnya.

Biarpun menerima sambutan menggalakkan, Ungku mengakui perjalanan membangunkan aplikasi pendidikan bukan mudah, apatah lagi apabila segala proses dilakukan seorang diri.
“Cita-cita terbesar saya adalah menjadikan aplikasi ini percuma untuk semua. Saya mahu semua orang boleh mengakses latihan pendidikan tanpa perlu membayar. Setakat ini segala latihan boleh dibuat secara percuma.
“Cuma kalau pengguna mahu bermain‘game’ dan berlawan Power Congak dengan pengguna lain, itu yang perlu dibayar. Tetapi saya perlu menanggung kos server, penyelenggaraan dan pembangunan aplikasi. Sebab itu, saya masih bergantung kepada iklan dan langganan premium.
“Saya berharap akan ada pihak yang mempunyai kemahiran dalam bidang ini atau syarikat organisasi yang sudi bekerjasama supaya saya dapat membentuk satu pasukan dan menghasilkan lebih banyak aplikasi subjek pendidikan lain,” katanya.
Dalam masa sama, Ungku berharap ibu bapa tidak melihat aplikasi pembelajaran sebagai jalan pintas untuk mendidik anak-anak kerana aplikasi itu hanyalah alat sokongan.
“Power Congak hanya alat membantu ibu bapa. Segala-galanya tetap bergantung kepada disiplin dan pemantauan mereka. Begitu juga dengan isu masa penggunaan skrin.
“Kita tidak boleh mengharapkan anak-anak mendisiplinkan diri sendiri. Kitalah perlu membentuk mereka. Sebab itu, disiplin dan sistem ganjaran sangat penting dalam membentuk minat anak untuk belajar,” ujarnya.
The post Power Congak percuma untuk semua,Itu cita-cita terbesar saya – Ungku Ismail Aziz appeared first on Utusan Malaysia.
