hamden04/05/2026 - 09:00 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Mei - Powerwell Holdings Bhd dijangka memasuki kitaran pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh seiring perkembangan pesat pembangunan pusat data (DC), tenaga boleh diperbaharui serta perbelanjaan infrastruktur di Malaysia.
Menurut Affin Hwang Investment Bank Research (Affin Hwang IB), syarikat itu berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat dalam segmen pengagihan kuasa elektrik, didorong oleh ledakan pusat data yang dijangka berterusan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Firma penyelidikan itu memulakan liputan ke atas Powerwell dengan saranan “beli” serta harga sasaran 80 sen, bersandarkan kepada prospek pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan penilaian menarik pada kira-kira 13 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi unjuran tahun 2027.
“Powerwell berada dalam kedudukan terbaik untuk memanfaat gelombang pertumbuhan pusat data dan tenaga boleh diperbaharui, disokong rekod operasi yang kukuh, pensijilan antarabangsa serta kerjasama strategik dengan Siemens AG,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Affin Hwang IB menjangkakan pendapatan teras kumpulan akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 21% bagi tempoh tahun kewangan 2025 hingga 2028, didorong peningkatan hasil, margin stabil serta kapasiti pengeluaran yang diperluaskan.
Tumpuan utama Powerwell kekal dalam segmen papan suis dan peralatan suis voltan rendah serta sederhana, yang kini semakin kritikal dalam pelaksanaan projek berskala besar seperti pusat data dan tenaga boleh diperbaharui.
Dari segi operasi, Powerwell telah menyewa kilang tambahan di Kota Kemuning, sekali gus meningkatkan keluasan ruang pengeluaran kepada 143,000 kaki persegi dengan kapasiti tahunan dijangka mencecah 12,000 kubikel.
Pada masa sama, syarikat turut menguji sistem konfigurasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan tempoh reka bentuk kejuruteraan sehingga 30%, selain penggunaan reka bentuk modular untuk meningkatkan kecekapan pemasangan.
Sehingga Februari 2026, sebanyak 66% daripada buku tender Powerwell bernilai RM395 juta disumbangkan oleh projek berkaitan pusat data, manakala 18% lagi datang daripada projek tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu, pusat data kini menyumbang 35% daripada buku pesanan semasa kumpulan, tidak termasuk kontrak baharu bernilai RM68.5 juta yang diperoleh pada Januari lalu.
Dalam perkembangan lain, pengambilalihan Tenaga Kenari membolehkan Powerwell memperluas operasi ke Sabah dan Sarawak, manakala Firerex menambah keupayaan dalam sistem pemadaman kebakaran serta membuka peluang jualan silang.
Dari sudut kewangan, hasil kumpulan dijangka meningkat daripada RM165 juta pada tahun kewangan 2026 kepada RM254.9 juta menjelang 2028, dengan pendapatan teras diunjurkan mencecah RM31.7 juta.
Margin kasar pula dijangka kekal kukuh dalam julat 25% hingga 30%, disokong oleh disiplin harga dan peningkatan kecekapan operasi.
Affin Hwang IB turut menekankan kekuatan aliran tunai syarikat, dengan aliran tunai bebas diunjurkan antara RM17 juta hingga RM23 juta setahun bagi tempoh 2027 hingga 2028.
“Penjanaan tunai yang kukuh ini memberikan fleksibiliti kepada syarikat untuk pelaburan semula serta potensi pengagihan dividen kepada pemegang saham,” jelasnya. - DagangNews.com





