PETALING JAYA, 9 FEB: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bakal mewujudkan lima lagi perpustakaan berkonsep mesra transit tahun ini.
Pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhamad berkata antara lokasi cadangan adalah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom, Shah Alam; PPR Taman Medan Jaya dan Desa Mentari, Petaling Jaya; Pangsapuri Enggang, Puchong dan Bangi.
“Insya-Allah, lima lokasi perpustakaan ini masih dalam perbincangan bersama pihak yang berkenaan dan jika tiada aral melintang ia akan diwujud pada tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mastura menyaran kepada semua agensi kerajaan dan swasta menyalurkan sumbangan supaya lebih banyak perpustakaan dapat diwujud.
“Kita mengalu-alukan agensi kerajaan, syarikat korporat dan swasta untuk menyalurkan bantuan. Setiap sumbangan mereka akan dapat pengecualian cukai,” katanya.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Perpustakaan Awam Selangor @ AYG Kota Damansara Blok D di PPR Kota Damansara di sini, semalam.

Setakat ini, sebanyak 14 perpustakaan mesra transit di Selangor yang rata-ratanya dilengkapi dengan tandas, surau, pantri, ruang multimedia, WiFi percuma, sudut bacaan kanak-kanak dan dewasa serta bilik penyusuan.
Sebelum itu, Amirudin berkata Selangor membudaya perpustakaan sebagai gedung ilmu dengan pelbagai kemudahan untuk semua sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri berlandaskan pengetahuan.
The post PPAS bakal wujud lima lagi perpustakaan mesra transit tahun ini appeared first on Selangorkini.


