PPIM bantah cadangan import semula babi hidup melalui Pelabuhan Klang

LocalEnvironment
15 Aug 2026 • 4:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PPIM bantah cadangan import semula babi hidup melalui Pelabuhan Klang
Nadzim berkata, pengurusan dan pengendalian ternakan babi secara terbuka di kawasan pelabuhan bukan sahaja berisiko menyebabkan pencemaran, malah menyentuh sensitiviti umat Islam khususnya pekerja pelabuhan dan penduduk berhampiran. Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah keras cadangan membawa masuk semula ternakan babi hidup melalui Pelabuhan Klang, Selangor kerana dikhuatiri menimbulkan risiko pencemaran alam sekitar dan menjejaskan integriti rantaian bekalan halal.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengurusan dan pengendalian ternakan babi secara terbuka di kawasan pelabuhan bukan sahaja berisiko menyebabkan pencemaran, malah menyentuh sensitiviti umat Islam khususnya pekerja pelabuhan dan penduduk berhampiran.

Beliau berkata, PPIM mengambil maklum bahawa aduan rasmi telah dikemukakan berulang kali kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan, namun tindakan konkrit masih diperlukan bagi menangani kebimbangan berkenaan.

"Proses pemindahan haiwan tersebut dilihat amat kotor, tidak sistematik dan tidak mengikut piawaian sanitasi yang ketat.

"Antara isu paling kritikal ialah tindakan melepaskan air kumbahan dan sisa buangan daripada aktiviti pemindahan haiwan tersebut secara terus ke dalam laut, sekali gus berisiko tinggi mencemaskan ekosistem perairan di sekitar pelabuhan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Nadzim berkata, intergiriti rantai bekalan halal tidak boleh dikompromi, sekali gus aspek kebersihan dan keterjaminan halal di Pelabuhan Klang perlu diberi perhatian serius kerana ia merupakan antara pintu masuk utama perdagangan negara yang mengendalikan pelbagai barangan serta produk makanan.

Lebih mengejutkan, beliau memaklumkan, hasil pemantauan mengesahkan kawasan laluan ataupun kemudahan yang digunakan untuk memindahkan ternakan babi tersebut tidak pernah disamak mengikut syariat Islam selepas proses pengendalian selesai.

"Situasi ini amat membimbangkan kerana produk makanan halal lain turut menggunakan laluan, fasiliti serta peralatan yang sama semasa proses pemuatan dan penurunan barangan," ujarnya lagi.

Beliau berpandangan, keadaan itu secara tidak langsung boleh menimbulkan keraguan terhadap integriti rantaian bekalan makanan halal yang melalui pelabuhan berkenaan.

Nadzim berkata, pihaknya menyokong bantahan Persatuan Pekerja Pelabuhan Klang dan penduduk sekitar terhadap usaha membawa masuk ternakan berkenaan melalui pelabuhan itu.

Justeru, beliau memaklumkan, PPIM mendesak pihak berkuasa agama negeri, kerajaan negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang mengambil tindakan tegas bagi memastikan sebarang usaha atau kebenaran mengimport babi hidup melalui pelabuhan di Selangor dihentikan.

"Proses penyucian atau samak mengikut syariah juga perlu diwajibkan di mana-mana fasiliti yang terjejas bagi memelihara status halal rantaian bekalan awam.

"Hak dan kebajikan pekerja serta penduduk sekitar juga perlu dilindungi dengan memastikan aspek keharmonian, kebersihan awam dan sensitiviti agama terus terpelihara," katanya.

Beliau menegaskan integriti rantaian halal dan kebersihan awam merupakan hak pengguna yang perlu dipertahankan dan tidak wajar dikompromi demi kepentingan pihak tertentu.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas operasi pengimportan babi hidup dari Sarawak yang pernah dijalankan sebelum ini, yang mana ia didakwa menimbulkan masalah pencemaran bau, kebersihan dan ketidakselesaan kepada persekitaran.

Menurutnya, usaha menghidupkan semula aktiviti itu hanya akan mengembalikan kebimbangan sama, selain mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat Islam di Selangor.

"PPIM turut mempersoalkan kewajaran membawa masuk haiwan hidup dari Sarawak sedangkan bekalan daging babi sejuk segar dari Thailand sudah dibenarkan masuk secara berterusan," menurutnya.

Dalam pada itu, kata beliau, PPIM mencadangkan sekiranya bekalan dari Sarawak masih diperlukan, pengimportan dibuat dalam bentuk daging yang telah diproses atau sejuk beku dan bukannya haiwan hidup.

Nadzim menambah, kaedah berkenaan lebih mudah dikawal dari aspek kebersihan dan pengendalian, selain dapat mengurangkan risiko pencemaran serta penyakit.

"PPIM turut mendesak Kerajaan Negeri Selangor meneliti semula kewajaran operasi rumah sembelih babi di Rawang, selaras dengan langkah penutupan ladang babi di seluruh Selangor yang dijadualkan selesai menjelang Julai 2026," tegasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved