APMM lahad Datu tahan lapan PATI susup keluar ke Filipina

13 Jun 2019 • 2:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

LAHAD DATU - Cubaan seorang juragan serta tujuh penumpang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina menyusup keluar ke Filipina melalui perairan Telukan Lahad Datu dekat sini, gagal apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mereka yang berusia antara 17 hingga 65 tahun itu ditahan bot peronda APMM pada 6.50 petang selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan berdekatan Kampung Desa Bajau.

"Pemeriksaan mendapati juragan lelaki berumur 65 tahun membawa seorang penumpang wanita berusia 17 tahun serta enam lelaki berumur lingkungan 28 hingga 55 tahun.

"Semuanya tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Muhaimin berkata bot dan semua tahanan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Beliau berkata APMM akan terus menjalankan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Lahad Datu.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi APMM Lahad Datu di talian 089-885727 atau talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan,” katanya.- Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved