PPUM, CelcomDigi laksana pembedahan ENT masa sebenar rentas negara disokong teknologi 5G, AI dan XR

LocalTechnology
15 Dec 2025 • 4:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PPUM, CelcomDigi laksana pembedahan ENT masa sebenar rentas negara disokong teknologi 5G, AI dan XR
image is not available
haziq15/12/2025 - 16:11 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Dis – CelcomDigi Berhad bersama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mencipta penanda aras baharu dalam teknologi digital kesihatan dengan kejayaan melaksanakan pembedahan ENT (Telinga, Hidung dan Tekak) secara siaran langsung masa sebenar merentasi pelbagai negara, menggunakan gabungan rangkaian 5G ketumpatan ultra rendah, kecerdasan buatan (AI) dan realiti lanjutan (XR).

 

Inisiatif berimpak tinggi ini menampilkan peranan CelcomDigi sebagai pemudah cara teknologi utama, dengan rangkaian 5G yang menyokong penghantaran visual definisi tinggi secara lancar dan serentak, sekali gus membolehkan pengawasan klinikal jarak jauh serta interaksi dua hala secara langsung antara pakar perubatan, pensyarah dan pelajar di seluruh dunia.

 

Kesemua peserta dihubungkan ke teater bedah PPUM melalui platform HoloMedicine Robotics XR yang dikuasakan AI, membolehkan pemerhatian terperinci setiap langkah kritikal pembedahan, serta perbincangan klinikal masa sebenar merentasi sempadan geografi.

 

Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi, T. Kugan berkata kejayaan demonstrasi tersebut membuktikan kesediaan rangkaian 5G untuk menyokong aplikasi kritikal bernilai tinggi dalam sektor penjagaan kesihatan.

 

“Gabungan rangkaian 5G ketumpatan ultra rendah dengan platform HoloMedicine berasaskan AI dan XR membolehkan kolaborasi masa sebenar merentas negara, seolah-olah semua pihak berada dalam teater pembedahan yang sama. Ini menunjukkan bagaimana teknologi digital mampu membuka ruang baharu dalam latihan perubatan dan penjagaan pesakit,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

 

Menurut beliau, sebagai penyedia perkhidmatan 5G utama negara, CelcomDigi komited untuk menyokong penggunaan teknologi generasi akan datang yang mampu meningkatkan kecekapan sistem kesihatan dan menjadikan Malaysia destinasi rujukan bagi pendidikan perubatan serantau.

 

Sementara itu, Dr Mohd Zulkiflee berkata pendekatan siaran langsung berasaskan XR itu membolehkan akses latihan dan perkongsian kepakaran yang lebih luas tanpa kekangan fizikal.

 

“Melalui interaksi masa sebenar menggunakan teknologi imersif, pakar klinikal dan pelajar dapat terlibat secara langsung dalam prosedur pembedahan walaupun berada di lokasi berbeza. Kerjasama dengan CelcomDigi membuka peluang baharu dalam latihan kepakaran, pemindahan ilmu dan peningkatan kualiti penjagaan pesakit,” katanya.

 

Inisiatif ini turut menyerlahkan potensi penggunaan XR yang didayakan 5G dalam pendidikan pembedahan dan kolaborasi klinikal khususnya bagi kes berisiko tinggi yang memerlukan ketepatan dan pengawasan rapi.

 

Pembedahan ini diketuai oleh Pengarah PPUM merangkap Pakar Otorinolaringologi dan Pakar Bedah Kepala dan Leher, Dr Mohd Zulkiflee Abu Bakar, bersama Pensyarah Kanan dan Pakar Klinikal ENT, Dr Julius Goh Liang Chye. 

 

Prosedur ini disaksikan secara langsung oleh komuniti perubatan antarabangsa dari Amerika Syarikat, termasuk Harvard Medical School, Mayo Clinic dan Vanderbilt University Medical Center, serta negara Asia seperti Korea Selatan, Bhutan, Filipina, Indonesia, Thailand dan Singapura, selain beberapa negeri di Malaysia.

 

Susulan kejayaan tersebut, PPUM merancang untuk melaksanakan beberapa lagi demonstrasi pembedahan secara langsung melibatkan urologi, kolorektal dan kes ENT lanjutan, yang akan terus memanfaatkan integrasi 5G, AI dan XR bagi pembelajaran interaktif dan pemerhatian jarak jauh.

 

Secara keseluruhan, pelaksanaan ini menunjukkan bagaimana penyelesaian digital boleh diaplikasikan secara praktikal dan selamat dalam persekitaran klinikal sebenar, sambil mengukuhkan peranan CelcomDigi sebagai pemacu pendigitalan penjagaan kesihatan dan PPUM sebagai institusi rujukan dalam penggunaan teknologi perubatan termaju di rantau ini. - DagangNews.com

Terkini featured standard
View Original Article