
KUALA LUMPUR: Bermula dengan minat terhadap filem sejak berusia lapan tahun dan bereksperimen menggunakan Windows Movie Maker pada komputer riba lama milik bapanya, anak kelahiran Melaka, Praboo T. Arivananthan atau lebih dikenali sebagai Praboo Ariva, kini membina kerjaya dalam industri pembikinan filem di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Pada usia 17 tahun, Praboo mencipta sejarah tersendiri apabila menyunting filem cereka pertamanya, KID, yang kemudiannya ditayangkan di pawagam di Malaysia sekali gus menjadikannya antara penyunting filem termuda negara ketika itu.
Perjalanan tersebut seterusnya membawa anak kelahiran Melaka itu ke American Film Institute (AFI) Conservatory di Los Angeles untuk mendalami bidang penyuntingan.
Praboo menjadi rakyat Malaysia pertama yang dipilih menyertai disiplin Penyuntingan di AFI Conservatory dan kemudian diberi kepercayaan untuk terus berkhidmat di institusi berprestij itu sebagai Post Production Specialist selepas menamatkan pengajian.
“Ketika saya masih kecil, saya tidak tahu pun bagaimana untuk menjelaskan apa itu pembikinan filem. Saya cuma tahu saya ingin memahami bagaimana sebuah filem boleh membuatkan seseorang ketawa, menangis atau merasai sesuatu.
“Apabila saya mula menggunakan Windows Movie Maker, saya mula menyedari bahawa penceritaan bukan sekadar tentang apa yang dirakam. Cara kita menyusun, memilih dan membentuk sesuatu babak juga menentukan bagaimana penonton merasai sesebuah cerita,” katanya.

Kini, Praboo, 30, berkhidmat sebagai Associate Post Producer di DramaBox dengan memainkan peranan penting dalam keseluruhan proses pasca produksi, termasuk bekerjasama rapat dengan penyunting dan pasukan kreatif bagi memastikan visi sesebuah projek diterjemahkan dengan berkesan kepada penonton.
Beliau turut terus terlibat dalam projek filem cereka dan bebas, termasuk Presumption of Death yang disuntingnya dan telah ditayangkan di Amazon Prime Video.
Selain itu, beliau juga berkhidmat sebagai Perunding Pasca Produksi bagi Dreams in Nightmares, manakala projek dokumentari Memories of Love Returned, yang disertainya sebagai penyunting dalam talian, telah meraih pelbagai pengiktirafan di festival filem antarabangsa.

Menurut Praboo, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan automasi seharusnya dilihat sebagai alat untuk membantu proses kreatif, bukannya menggantikan peranan manusia dalam penceritaan.
“Saya tidak melihat persoalan AI sebagai sama ada ia baik atau buruk semata-mata. Bagi saya, persoalan yang lebih penting ialah bagaimana teknologi itu boleh benar-benar membantu golongan kreatif.
“Teknologi boleh mengubah cara kita bekerja dan alat yang kita gunakan, tetapi penceritaan tetap memerlukan pertimbangan manusia, cita rasa, empati dan keupayaan untuk memahami apa yang boleh membuatkan penonton merasai sesuatu,” katanya.
Bagi Praboo, perjalanan daripada seorang kanak-kanak di Melaka yang terpaku menonton filem sehingga membina kerjaya di Los Angeles membuktikan bahawa minat dan rasa ingin tahu yang dipupuk sejak kecil mampu membawa seseorang jauh ke hadapan.
“Apabila saya melihat kembali perjalanan ini, semuanya terasa agak luar biasa. Saya bermula sebagai seorang kanak-kanak di Melaka yang hanya tertarik dengan filem, kemudian bereksperimen menggunakan komputer riba lama ayah dan akhirnya menyunting filem ketika remaja sebelum berpindah ke Los Angeles.
“Alat dan tanggungjawab saya mungkin sudah banyak berubah, tetapi sebab saya melakukan semua ini masih sama. Saya masih mahu memahami bagaimana sesebuah cerita berfungsi, membantu pembikin filem menyampaikannya dengan lebih baik dan menghasilkan sesuatu yang mampu menyentuh perasaan penonton,” katanya.
The post Praboo, anak seni tempatan lakar nama di Hollywood appeared first on Utusan Malaysia.
