
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengancam akan mendedahkan nama syarikat asing yang didakwa terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.
Beliau berkata, kerajaan akan menamakan firma berkenaan sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai penghinaan terhadap negara itu.
“Negara tertentu yang suka menghina bangsa Indonesia, apabila tiba masanya nanti kita akan mendedahkan nama syarikat berkenaan,” kata Prabowo ketika mesyuarat Kabinet di Istana Merdeka, Jakarta, pada Rabu, 21 Oktober, menurut laporan Antara.
Bagaimanapun, Prabowo tidak menamakan negara atau syarikat yang dimaksudkannya.
Beliau juga tidak memberikan butiran mengenai dakwaan penglibatan firma asing dalam kebakaran itu.
Dalam mesyuarat berkenaan, Prabowo menyifatkan kebakaran hutan dan tanah yang sengaja dicetuskan sebagai keganasan alam sekitar dan berkata, kerajaan akan menyiasat kemungkinan penglibatan individu serta syarikat.
“Ini kerana ternyata banyak syarikat turut bertanggungjawab. Pelbagai individu juga telah ditangkap ketika sengaja melakukan pembakaran, yang boleh kita anggap sebagai keganasan alam sekitar. Ini jenayah terhadap kemanusiaan kerana perbuatan mereka membahayakan kesihatan jutaan rakyat kita,” katanya.
Menurut Antara, Prabowo berkata, siasatan di lapangan menemukan petunjuk bahawa kebakaran itu berpunca daripada perbuatan manusia.
Beliau mengarahkan Polis Negara, Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Perhutanan menjalankan siasatan lanjut dengan bantuan Tentera Nasional Indonesia (TNI) serta Agensi Perisikan Negara (BIN).
Prabowo menambah, kerajaan akan membatalkan permit syarikat yang didapati melanggar undang-undang.
Beliau berkata, Indonesia tidak akan menganggap kebakaran itu sebagai kejadian biasa, dengan mengambil kira risiko yang ditimbulkannya terhadap kesihatan awam dan keperluan untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.
Indonesia mengalami kebakaran setiap musim kemarau, tetapi kebakaran tahun ini amat serius sehingga menyebabkan ratusan ribu penduduk jatuh sakit. – AGENSI
The post Prabowo ancam dedah nama syarikat asing terbabit dalam kebakaran hutan appeared first on Utusan Malaysia.

