
JAKARTA – Presiden Prabowo Subianto mengarahkan supaya bekas kapal pengangkut pesawat tentera Itali, Giuseppe Garibaldi digunakan dalam operasi memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia ketika jerebu melanda rantau Asia Tenggara, lapor laman berita Jakarta Globe.
Prabowo mengemukakan idea tersebut apabila mengumpulkan pegawai-pegawainya untuk mesyuarat pengurusan bencana menerusi sidang video semalam, ketika Indonesia bergelut dengan kebakaran hutan selama berbulan-bulan diikuti jerebu dan kini abu gunung berapi Anak Krakatau.
“Segala puji bagi Tuhan. Sebuah kapal pengangkut pesawat Itali akan menyertai armada Tentera Laut kita tidak lama lagi,” kata Prabowo, merujuk kepada Garibaldi.
Kapal yang diterima Jakarta sebagai geran kerajaan Itali itu dalam perjalanan ke Indonesia dan dijangka tiba pada 19 September ini.
Prabowo mahu kapal induk sudah berusia itu menjadi hab mudah alih bagi helikopter yang akan menggugurkan air di kawasan-kawasan titik panas.
“Kita akan mengubah suai kapal ini menjadi kapal pengangkut khusus untuk helikopter dan dron. Ia sepatutnya mampu membawa 10 helikopter saiz sederhana seperti Black Hawk dan Mil Mi-17.
“Sebuah helikopter ini boleh membawa antara 4 hingga 5 tan air secara purata,” kata Prabowo.
Mil Mi-17 ialah helikopter tentera Russia rekaan bekas Kesatuan Soviet. Pada tahun 2023, Indonesia menandatangani perjanjian untuk membeli 24 unit Sikorsky S-70M Black Hawk buatan Amerika Syarikat.
Presiden itu mengarahkan kerajaannya untuk mengambil tindakan sebelum bencana berlaku.
“”Lebih banyak helikopter, lebih baik supaya kita bersedia sebelum [kebakaran] berlaku. Kita harus mengerahkan lebih banyak pesawat untuk pengubahsuaian cuaca (pembenihan awan),” ulas Prabowo.
Rom memutuskan untuk memberikan Garibaldi kepada Indonesia bagi mengelakkan kos pelupusan kapal yang tinggi.
Indonesia berada dalam kancah kebakaran hutan yang dahsyat sejak awal Ogos lalu, menyebabkan jerebu menyelubungi Malaysia, Singapura dan juga Filipina. – AGENSI
The post Prabowo arah kapal induk bantu padam kebakaran hutan appeared first on Kosmo Digital.


