
KUALA LUMPUR - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan pihak polis dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) bertindak tegas terhadap perusuh yang menyebabkan kerosakan infrastruktur awam dalam tunjuk perasaan besar-besaran di negara itu kini.
Beliau menegaskan, kerajaan sentiasa menghormati kebebasan bersuara selaras dengan United Nations International Covenant on Civil and Political Rights Fasal 19 Undang-Undang Nombor 9 tahun 1998, namun tidak akan berkompromi dengan keganasan.
"Saya perintahkan untuk mengambil tindakan yang paling tegas terhadap segala bentuk kerosakan kemudahan awam, penjarahan terhadap kediaman individu ataupun tempat-tempat awam dan pusat-pusat ekonomi, selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,’’ katanya dalam sidang akhbar di Istana Negara, semalam lapor Sinar Harian.
Tegasnya, penyampaian aspirasi perlu dilakukan secara aman tanpa mencetuskan sebarang provokasi yang boleh membawa kepada pelanggaran undang-undang.
Tunjuk perasaan di beberapa daerah sebelum ini mencetuskan provokasi besar-besaran sehingga menyebabkan beberapa infrastruktur awam musnah.
Dalam pada itu berlaku pencerobohan dan penjarahan di kediaman beberapa individu penting negara termasuk milik anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Ahmad Sahroni di Tanjung Priok, Jakarta Utara, yang diserbu orang ramai, dalam kejadian pada Sabtu lalu.
Turut menjadi mangsa adalah kediaman ahli politik Parti Amanat Nasional (PAN), Eko Hendro Purnomo atau lebih dikenali sebagai Eko Patrio, di kawasan Setiabudi, Jakarta Selatan dan rumah anggota DPR, Surya Utama atau lebih dikenali sebagai Uya Kuya.
Difahamkan, kediaman peribadi Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati di Jakarta turut menjadi sasaran penjarahan oleh penceroboh, awal pagi semalam.
Situasi tunjuk perasaan semakin memuncak di Indonesia bagi menuntut keadilan di atas kematian penunggang motosikal Gojek, Affan Kurniawan, 21, yang dilanggar oleh kenderaan taktikal polis (Brimob), Khamis lalu.
Affan, telah dilanggar berhampiran Parlimen ketika polis cuba menyuraikan tunjuk perasaan yang diadakan bagi membantah beberapa isu termasuk gaji Ahli Parlimen dan pembiayaan pendidikan, Khamis lalu.
Dia kemudian dihantar ke Hospital Cipto Mangunkusumo di tengah Jakarta, namun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.
Susulan kejadian, tujuh anggota polis yang terlibat telah ditahan bagi tujuan siasatan. - 1 September, 2025
The post Prabowo arah polis, tentera ambil tindakan paling tegas appeared first on Scoop.

