Prabowo Dilantik Sebagai Presiden Indonesia Baharu, Anwar Pemimpin Pertama Ucap Tahniah

Politics
21 Mar 2024 • 9:56 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Indonesia baharu, Prabowo Subianto selepas diumumkan sebagai pemenang rasmi Pilihan Raya Presiden 2024.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau dimaklumkan sebagai pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan tahniah kepada Prabowo selepas pengumuman keputusan rasmi PEMILU tengah malam tadi.

“Saya telah menghubungi Presiden Terpilih Republik Indonesia Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto bagi menyampaikan salam tahniah di atas kejayaan beliau dalam Pemilihan Presiden Indonesia yang baru selesai,” katanya.

Beliau berkata, hal tersebut cukup bermakna kerana melambangkan nilai persahabatan antara Malaysia dan Indonesia yang amat istimewa sebagai negara tetangga yang dekat dan penting.

image is not available

Foto: FB Anwar Ibrahim

Ahli politik itu juga menyatakan keyakinannya terhadap pemilihan Presiden Indonesia baharu.

“Selamat maju jaya dan saya menyatakan keyakinan bahawa Bapak Prabowo pasti dapat menggalas mandat yang diberikan dengan cemerlang demi kemajuan yang berterusan dan kemakmuran negara Indonesia,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan hasrat dan perancangannya dengan Probowo yang telah disepakati bersama.

image is not available

Foto: SFGate

“Kedua-dua kami bertekad untuk memperkukuh hubungan dua hala yang mencakup pelbagai aspek sebagai negara jiran dan berikrar untuk bekerjasama rapat di pelbagai forum pelbagai hala terutamanya dalam ruang lingkup ASEAN,” tambahnya lagi.

 

Untuk makluman, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) mengumumkan Prabowo sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden sekali gus menggantikan Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober tahun lalu.