
SURABAYA — Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengulas isu kejatuhan nilai rupiah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan menegaskan masyarakat di kawasan luar bandar tidak menggunakan mata wang asing itu dalam kehidupan harian mereka.
Menurut laporan CNN Indonesia, beliau berkata demikian ketika merasmikan Muzium Marsinah di Nganjuk, Jawa Timur pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Prabowo turut menyentuh mengenai pihak tertentu yang sering mendakwa ekonomi Indonesia berada dalam keadaan bahaya susulan kelemahan nilai rupiah.
“Sekejap-sekejap kata Indonesia akan runtuh, akan huru-hara dan macam-macam lagi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai supaya tidak terlalu bimbang terhadap pergerakan rupiah berbanding dolar AS yang sering menjadi perhatian.
Rakyat Desa Tidak Guna Dolar AS
Menurutnya, masyarakat di kawasan pedalaman tidak menggunakan dolar AS dalam urusan harian mereka, selain menegaskan keadaan ekonomi Indonesia masih terkawal.
“Rakyat di desa tidak guna dolar pun, betul tak? Bekalan makanan selamat, tenaga selamat. Banyak negara sedang panik, Indonesia masih okay,” ujarnya.
Prabowo turut menegaskan ketahanan ekonomi Indonesia masih berada pada tahap stabil terutama dalam sektor makanan dan tenaga meskipun dunia sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Tegur Golongan Elit Dan Pimpinan
Dalam masa sama, beliau menegur segelintir golongan elit dan pimpinan yang disifatkan lantang bercakap soal nasionalisme namun gagal membela kepentingan rakyat selepas memperoleh kuasa.
Katanya, rakyat biasa masih setia kepada Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI), namun terdapat pihak tertentu dalam kepimpinan yang dilihat mengabaikan kepentingan bangsa sendiri.
Untuk rekod, nilai tukar rupiah dilaporkan berada pada paras Rp17,592 bagi setiap dolar AS pada Sabtu, berbanding Rp17,614 pada penutupan dagangan Jumaat lalu. – The Malaysian Update
The post Prabowo Ulas Kejatuhan Rupiah, Tegas Rakyat Desa Tidak Guna Dolar AS appeared first on The Malaysian Update.

