Prasekolah bermula usia 5 tahun, tahun satu 6 tahun bergantung ibu bapa: PM

LocalPolitics
20 Jan 2026 • 2:43 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Bermula tahun depan, kanak-kanak akan memulakan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun, manakala tahun satu bermula pada usia enam tahun, menurut pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan perubahan itu belum diwajibkan kepada ibu bapa, bagi memberi ruang kepada semua pihak – khususnya warga pendidik – menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu pendidikan negara.

“Kita mahu pastikan pelaksanaan ini berjalan lancar. Perubahan besar seperti ini perlu masa untuk semua pihak bersedia,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta beberapa menteri Kabinet lain.

Jelas Anwar, persiapan segera perlu dilakukan KPM dalam menerima perubahan kepada sistem baru pendidikan negara.

"Sebab itu saya arah mulai sekarang hal yang diumumkan itu (memerlukan) tindakan cepat dan segera oleh kementerian dan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi untuk pastikan kemudahan asas itu ditambah.

"Kalau tanya unjuran KPM semua 2029, 2030. Jadi saya kata bagus, cuma kerana saya yakin dengan keupayaan kedua-dua kementerian ini, semua kita akan percepatkan. Semua 'fast track' kerana negara ini mampu menjadi negara yang berjaya," katanya. - 20 Januari, 2026

The post Prasekolah bermula usia 5 tahun, tahun satu 6 tahun bergantung ibu bapa: PM appeared first on Scoop.