Predator:Badlands; Apabila Pemburu Belajar Tentang Kasih Sayang & Kemanusiaan

EntertainmentMovie
16 Nov 2025 • 2:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Selepas hampir empat dekad memburu di layar perak, francais filem Predator kembali dengan arah baharu yang tidak disangka-sangka.

Filem Predator: Badlands bukan sekadar menyajikan aksi dan teknologi makhluk asing seperti sebelumnya, ia membuka jendela ke dunia Yautja, memperlihatkan sisi yang lebih peribadi, beremosi, dan mengejutkan dengan sedikit sentuhan komedi!

image is not available

Berbeza dengan filem-filem terdahulu yang berlatarkan Bumi, Predator: Badlandsmemberi naratif baharu. Ia membawa penonton ke planet liar bernama Genna, sebuah dunia yang penuh dengan bahaya dan keindahan. 

Di sinilah kita mengenali Dek, seekor Yautja muda yang dianggap tidak cukup kuat untuk menjadi pemburu sejati.

Bagi membuktikan dirinya, Dek meminta untuk dihantar ke Genna untuk menjalani ujian maut memburu makhluk legenda bernama Kalisk. Namun, segalanya berubah apabila dia bertemu Thia, sebuah android manusia yang rosak dan terperangkap di planet tersebut. 

Pertemuan dua makhluk dari dunia berbeza ini menjadi titik tolak kepada perjalanan yang sarat dengan emosi, penemuan diri dan keikhlasan dalam persahabatan.

Kehebatan Aksi Dan Visual Yang Menakjubkan

Sebagaimana yang diharapkan daripada francais Predator, aspek aksi dan visual tetap menjadi kekuatan utama filem ini. Planet Genna dilukis dengan reka bentuk sinematografi yang menakjubkan, gurun berbatu merah, hutan bioluminesen, dan makhluk aneh yang seolah-olah diambil daripada mimpi ngeri.

image is not available

Aksi pertarungan antara Dek dan makhluk Kalisk juga dipersembahkan dengan gaya baharu, lebih taktikal, penuh tenaga dan disokong oleh kesan visual moden yang memukau. 

Namun apa yang paling menonjol ialah cara pengarah Dan Trachtenberg menyeimbangkan babak aksi dengan saat-saat sunyi yang beremosi. Dalam diam dan renungan, kita melihat sisi lembut seekor atau seorang Predator yang selama ini digambarkan hanya sebagai mesin pembunuh.

Kasih Sayang, Keluarga Dan Unsur Komedi

Inilah elemen yang menjadikan Predator: Badlands benar-benar berbeza. Di tengah-tengah aksi ganas dan dunia asing, tersembunyi mesej tentang kasih sayang, keluarga, dan erti persahabatan.

Hubungan antara Dek dan Thia memberi warna baharu kepada naratif. Thia yang dicipta tanpa emosi mula belajar tentang makna perasaan, sementara Dek pula menyedari bahawa kekuatan sebenar bukan datang daripada keganasan, tetapi dari keberanian untuk melindungi.

Lebih menarik, filem ini turut diselitkan dengan unsur komedi ringan, terutamanya melalui interaksi janggal antara Dek dan Thia, serta kemunculan makhluk kecil bernama Bud yang mencuri perhatian dengan telatah lucunya. Ia menjadikan filem ini lebih seimbang dan mudah dinikmati oleh penonton pelbagai lapisan umur.

Pendekatan inilah menjadikan Badlands satu eksperimen berani yang berjaya, ia memanusiakan makhluk yang selama ini dianggap raksasa, dan mengubah kisah klasik pemburuan menjadi sebuah kisah penebusan diri.

image is not available

Walaupun filem ini lebih layak diberi pujian kerana keberanian dan pendekatan baharunya, beberapa penonton mungkin merasakan tempo di bahagian pertengahan agak perlahan. 

Bagi peminat lama yang mengharapkan pemburuan manusia dan elemen seram, Badlands mungkin terasa lebih ‘lembut’. Namun, itu tidak mengurangkan nilai keseluruhannya. Malah, ia menunjukkan evolusi francais ke arah yang lebih matang dan bervisi.

Kesimpulannya, Predator: Badlands tidak akan merugikan harga tiket yang dibeli. Dengan visual menawan, aksi yang padat, dan tema kasih sayang yang menyentuh hati, filem ini bukan hanya tentang pemburu dan mangsa, tetapi tentang makhluk yang belajar untuk memahami erti menjadi hidup.

Sebuah karya yang memuaskan dari segi aksi dan jiwa, Predator: Badlandsmembuktikan bahawa bahkan makhluk paling ganas di galaksi pun mampu memiliki hati. Layak diberi 4/5 bintang. - Getaran, 16 November 2025

View Original Article