Predator Helios 18 dan 16 Terbaru Tiba Dengan Komponen Intel Dan NVIDIA Terbaru Dengan Harga Permulaan RM10,999

TechnologyDigital
21 Feb 2024 • 1:01 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Acer Malaysia hari ini mengumumkan bahawa kemaskini dua daripada komputer riba paling premium mereka, iaitu Predator Helios 18 dan juga Predator Helios 16 sudah dikemaskini dengan komponen-komponen terbaru Intel dan NVIDIA dan boleh dibeli di pasaran tempatan.

image is not available

Seperti yang diperlihatkan pada nama kedua-dua model komputer riba ini, Predator Helios 18 dan Helios 16 tampil dengan paparan skrin Mini LED bersaiz 18 inci dan 16 inci dengan resolusi WQXGA (2560×1600) dengan nisbah paparan 16:10 dan kadar segar semula 250Hz. Dengan nilai kecerahan setinggi 1000 nits, paparan ini juga menyokong teknologi paparan HDR yang menjanjikan pengalaman tontonan dan juga gaming yang sangat menyerlah.

image is not available

Kedua-dua komputer riba ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i9-14900HX yang terbaru dan paling berkuasa untuk komputer riba, memori DDR5 sebanyak 32GB, dan pilihan storan PCIe 4.0 sebesar 2TB ataupun 4 TB.

Dari segi spesifikasi kad grafik, Predator Helios 18 dan Helios 16 juga tampil dengan tiga pilihan kad grafik, termasuklah NVIDIA GeForce RTX 4090, GeForce RTX 4080 ataupun GeForce RTX 4070, semuanya kad grafik berkuasa yang mampu menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi dan tetapan yang tinggi.

image is not available

Sistem penyejukan komputer-komputer riba ini juga telah dikemaskini untuk menguasakan komponen-komponen yang memakan kuasa setinggi 330W ini. Mereka menggunakan kipas penyejuk Aeroblade 3D generasi kelima yang digabungkan dengan cecair penyejuk logam yang membolehkan komponen-komponen ini beroperasi pada prestasi dan suhu yang optima.

Selain daripada itu, kedua-dua komputer riba ini juga tampil dengan sokongan untuk palam Thunderbolt 4, HDMI 2.1 dan pembaca kad microSD. Dari segi sokongan teknologi baru, kedua-dua komputer riba ini juga tampil dengan sokongan untuk teknologi internet nirwayar WiFi 7 terbaru yang menjanjikan sambungan internet setinggi 40Gbps.

image is not available

Acer Malaysia mengatakan bahawa kedua-dua komputer riba ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan, bermula pada harga RM13,999 untuk Predator Helios 18 dan RM10,999 untuk Predator Helios 16.