
Projek Infrastruktur bernilai RM 600 Juta ini kini dibuka
Premier Sarawak Naik Motosikal, Rasmi Pembukaan Jambatan Muara Lassa. Dilaporkan, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sekali lagi menarik perhatian ramai apabila beliau sendiri menunggang motosikal melintasi Jambatan Muara Lassa sempena majlis perasmiannya di Daro, Mukah hari ini.
Jambatan sepanjang 2.43km ini dibina dengan kos hampir RM600 juta, menjadikannya jambatan kedua terpanjang di Sarawak selepas Jambatan Batang Lupar. Ia kini menjadi penghubung utama antara Daro dan Pulau Bruit, membuka lebih banyak peluang pembangunan kepada penduduk kawasan ini.

Sarawak mampu menjana pendapatan sendiri
Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UKAS, Premier Sarawak menegaskan bahawa jambatan ini adalah bukti bagaimana keharmonian politik dan kestabilan kerajaan negeri membolehkan Sarawak menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada Putrajaya.
“Kita tak perlu bergantung pada Putrajaya. Kalau mereka nak batalkan projek, biar mereka batalkan. Kita buat sendiri,” kata beliau, merujuk kepada pembatalan beberapa projek jambatan oleh kerajaan persekutuan pada 2018.
Beliau turut menekankan bahawa projek-projek infrastruktur seperti jambatan, jalan raya, AirBorneo, dan lapangan terbang baharu akan menjadi pemacu utama ekonomi Sarawak, sekaligus memberikan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Selepas menunggang motosikal melintasi jambatan, Abang Johari memuji struktur binaannya yang “sangat lancar”, dan yakin ia akan mengubah landskap pembangunan Daro dan Pulau Bruit.
Beliau turut mengumumkan bahawa Jambatan Rajang dijangka siap pada Mac ini, sekali gus akan menghubungkan Daro ke Sarikei dan Sibu. Ini adalah sebahagian daripada perancangan besar Sarawak Coastal Road Project, yang bertujuan untuk meningkatkan akses darat bagi penduduk luar bandar yang sebelum ini bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menyeberangi Batang Lassa.
Selain memudahkan perjalanan, projek ini juga bakal membuka lebih banyak akses kepada kemudahan kesihatan, pendidikan, serta peluang ekonomi buat penduduk sekitar.

Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian & Datuk Amar Douglas Uggah Embas, serta menteri-menteri dan wakil rakyat lain.
Dengan perasmian Jambatan Muara Lassa ini, Sarawak kini selangkah lebih dekat dalam menjadikan jaringan jalan raya dan infrastrukturnya bertaraf lebih baik!
Lagi artikel terkini untuk anda di sini:

![Tular Rider Terlibat Kemalangan ‘Sound’ Pemandu Didakwa U-Turn Sesuka Hati [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/cars.jpeg)

