
JOHOR BAHRU: Premis yang menjalankan aktiviti pembakaran terbuka melibatkan sisa barangan pepejal sejak lima tahun di Jalan Kempas Lama-Seelong, di sini diarah tutup serta merta, dengan kesemua barangan di dalamnya akan disita.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, keputusan itu diambil selepas pihaknya meninjau lokasi premis berkeluasan 3.64 hektar itu, di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati premis itu telah beroperasi tanpa lesen dan permit daripada mana-mana agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Semakan mendapati tiada lesen pernah dikeluarkan pihak berkuasa. Kita minta bantuan pelbagai agensi seperti polis, SWCorp, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Pejabat Tanah dan juga Petronas. Lokasi premis ini berjarak 150 meter daripada laluan paip gas, jadi dalam aspek itu ia selamat.
“Tindakan akan diambil, dimana SWCorp akan mengguna Seksyen 75(5) Akta 672, manakala Pejabat Tanah akan keluarkan notis kerana pemilik tanah didapati tidak membayar cukai selama tiga tahun. Sehubungan itu kawasan ini akan ditutup terus,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Jafni turut memberitahu, tindakan telah diambil terhadap penyewa premis berkenaan beserta tiga lelaki warganegara asing yang diupah untuk melakukan aktiviti pembakaran berkenaan, khususnya pada waktu malam.
“Pada masa sama, kita akan minta bantuan polis untuk mengesan pemilik tanah yang dipercayai merupakan individu warganegara Singapura. Siasatan akan dibuat bagi memastikan sama ada pemilik tanah terlibat sama dalam aktiviti ini atau hanya menyewakan tanah tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Jafni memberitahu penutupan premis berkenaan sekaligus menyelesaikan aduan penduduk yang berdepan pencemaran udara akibat aktiviti pembakaran terbuka yang telah dijalankan premis berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, penyewa premis warga tempatan serta tiga pekerja Bangladesh berusia antara 31 hingga 40 tahun telah ditahan, Ahad lalu.
“Bermula semalam, penyewa premis telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959, manakala tiga warga Bangladesh direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya.-UTUSAN
The post Premis lakukan pembakaran haram ditutup serta merta, empat ditahan appeared first on Utusan Malaysia.






