Premis perniagaan Ikhwan GISB di Rawang beroperasi seperti biasa

LocalPolitics
12 Sep 2024 • 3:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Premis makanan Kafe Ikhwan lengang sewaktu tinjauan dijalankan pada Khamis.

image is not available
Premis perniagaan makanan di pusat perniagaan Ikhwan Rawang lengang tiada pengunjung.

RAWANG - Pusat perniagaan Ikhwan di bawah naungan Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) di Bandar Country Homes di sini beroperasi seperti biasa.

Tinjauan Sinar Harian pada Khamis mendapati selain restoran, operasi perniagaan lain termasuk klinik kesihatan dan pusat rawatan, kedai serbaneka serta ibu pejabat GISB turut beroperasi seperti biasa.

Pemerhatian mendapati, keadaan di pusat komersial itu dilihat suram dengan keadaan dalam restoran pula lengang dengan jumlah pengunjung boleh dibilang.

Pemerhatian hampir sejam mendapati, tiada kanak-kanak bawah umur dikesan bekerja di premis perniagaan terbabit.

Seorang pekerja sebuah premis yang ditemui memaklumkan, perniagaan di kawasan itu terjejas teruk susulan penularan dakwaan wujud sindiket pemerdagangan dan eksploitasi kanak-kanak oleh GISB.

Dia yang telah bersama GISB sejak awal mengakui terkejut serta terkilan dengan dakwaan tersebut.

"Saya tak tahu motif dakwaan tersebut tapi dakwaan tersebut tidak benar dan telah menjejaskan perniagaan kami kerana mempengaruhi kepercayaan masyarakat setempat.

"Tiada pekerja bawah umur yang diambil bekerja, jika ada pun hanya pelajar yang ikuti latihan kemahiran, tiada yang bekerja tetap seperti didakwa," katanya.

**media[2804917]**

Dia turut memberitahu, kawasan tersebut tidak terlibat serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijalankan baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa pegawai polis yang turun ke sana untuk proses siasatan.

Dia turut menegaskan, anggota GISB juga tidak terlibat sebarang ajaran sesat seperti didakwa.

"Kami ikut ajaran Islam ditetapkan dan tidak juga melanggar undang-undang seperti didakwa.

"Kami memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis dan pada masa sama akan meneruskan operasi perniagaan seperti biasa memandangkan tiada arahan penutupan dikeluarkan," katanya.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan PDRM sedang memantau GISB yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak susulan empat laporan terbaharu yang diterima di Selangor.

Ayob Khan berkata, modus operandi syarikat itu dikesan banyak menubuhkan rumah amal kebajikan bagi tujuan kutipan derma.

Katanya, syarikat berkenaan adalah antara serpihan sebuah pertubuhan ajaran sesat diharamkan sebelum ini dan berada dalam senarai 114 kumpulan ajaran sesat dipantau Pasukan Cawangan Khas PDRM.

Sementara itu pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISB di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ujarnya, PDRM menerima laporan berhubung dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah penjagaan dipercayai milik GISBH di Negeri Sembilan dan Selangor.

Razarudin memberitahu, GISBH kini disiasat antaranya mengikut Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).