Premium insurans : 4 lagi prosiding, PAC akan jumpa CEO syarikat insurans, Gabenor Bank Negara

LocalPolitics
18 Jun 2025 • 6:33 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan empat lagi prosiding pada minggu ini membabitkan isu peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam.

Ahli PAC, Sim Tze Tzin berkata, sebanyak 18 prosiding dan dua pendengaran awam berkaitan isu itu sudah diadakan dan ia adalah siasatan paling panjang serta terperinci setakat ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, PAC juga akan bertemu semula Ketua Pegawai Eksekutif syarikat insurans dan Gabenor Bank Negara minggu ini berhubung isu terbabit.

“Semalam, kami (PAC) bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif hospital swasta dari KPJ Healthcare Bhd (KPJ), IHH Healthcare Bhd dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

"Ini adalah kali kedua kami bertemu mereka, kami juga mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) utama, iaitu PMCare dan CompuMed. Setiap pertemuan berlangsung hampir tiga jam," katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.

Selain itu Tze Tzin berkata, sambil menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, beliau gembira melihat kerajaan juga menjalankan tugas mereka dalam mereformasi sektor ini.

"Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani kenaikan kos penjagaan kesihatan swasta.

“Ini semestinya berita baik buat pekerja syarikat, golongan M40 dan ramai dalam kalangan B40 yang membeli insurans sebagai perlindungan diri," katanya.

Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan beban yang ditanggung dan memastikan rakyat terus mendapat akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti yang kekal mampu milik.

Pada Disember tahun lalu, beberapa pihak termasuk Ahli-Ahli Parlimen mendesak Bank Negara menyiasat dan mengkaji semula syarikat-syarikat insurans yang telah mengeluarkan notis kenaikan premium insurans antara 40% hingga 70% mulai 2025.- 18 Jun, 2025