Presiden Amerika Syarikat Mengharamkan Penggunaan Perisian Risikan Komersil

TechnologyDigital
28 Mar 2023 • 12:23 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Program risikan anjuran kerajaan bukanlah sebuah konsep yang baru. Kebanyakan negara-negara mempunyai unit risikan mereka sendiri, dan kadang-kala ia dibantu dengan penggunaan perisian risikan komersil yang dibangunkan oleh syarikat swasta.

Terkini, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah menandatangani Arahan Eksekutif yang mengatakan bahawa kerajaan Amerika Syarikat tidak dibenarkan lagi menggunakan perisian risikan komersil yang dilihat akan mendatangkan mudarat terhadap keselamatan negara tersebut.

image is not available

Menariknya, ini bukanlah satu lagi sekatan keatas syarikat-syarikat China, tetapi terhadap syarikat-syarikat pembangun perisian risikan yang dilihat bersikap acuh tidak acuh mengenai negara-negara ataupun kumpulan yang menggunakan khidmat yang sama ini.

Joe Biden juga mengatakan bahawa mereka juga dilarang menggunakan khidmat perisian risikan yang didapati telah menjual data aset dan rahsia negara tersebut kepada negara ataupun kumpulan lain.

Menariknya, arahan eksekutif ini tidak memperlihatkan nama-nama syarikat pembangun perisian risikan yang terlibat, dan tiada jawapan diberikan apabila ditanya, tetapi ia dilihat bahawa syarikat-syarikat seperti NSO Group dan Cytrox akan terkesan akibat pengumuman ini, khususnya kerana perisian-perisian ini dibangunkan diluar negara tersebut dan dilihat mempunyai risiko mengancam keselamatan data rahsia.