Presiden Brazil berusia 80 tahun umum pertahan jawatan

WorldPolitics
4 Aug 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Presiden Brazil berusia 80 tahun umum pertahan jawatan

SAO PAULO: Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva yang berusia 80 tahun pada Ahad berkata, beliau masih cergas ketika melancarkan pencalonannya bagi pilihan raya Oktober depan. 

Pencalonan itu dibuat di tengah-tengah tekanan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dijangka membayangi kempen tersebut.

Dalam ucapannya, Lula berkata, tahap kecergasan dan rutin senamannya memboleh­kan beliau kekal dalam keadaan sangat cergas.

“Saya mahu melawan usia tua. Saya tidak mahu berjalan terhincut-hincut,” katanya.

Tokoh utama haluan kiri Amerika Latin itu sedang memburu penggal keempat dan terakhir sebagai presiden dalam kempen yang menampilkan dirinya sebagai pemimpin berpengalaman dan mampu menjamin kestabilan ketika dunia bergolak serta menjadi benteng menentang kebangkitan golo­ngan berhaluan kanan di peringkat global.

Walaupun tiada seorang pun menyebut nama Trump secara langsung pada konvensyen Parti Pekerja (PT) di Sao Paulo, Lula dan beberapa tokoh kiri lain banyak menekankan tema mempertahankan kedaulatan Brazil daripada ancaman luar, susulan pertikaian perdagangan serta diplomatik dengan Washington.

“Saya mahu bersedia supaya tiada sesiapa menceroboh negara ini,” kata Lula sambil menggesa lebih banyak pelaburan dalam sektor pertahanan.

Bekas pekerja logam dan pe­mimpin kesatuan sekerja itu mencipta kebangkitan politik dramatik apabila kembali memegang tampuk pemerintahan tiga tahun lalu selepas pernah dipenjarakan atas sabitan rasuah yang kemudian dibatalkan. Sebelum itu, beliau memimpin Brazil dari 2003 hingga 2010.

Lula mempunyai penyokong dan penentang dalam jumlah yang hampir seimbang. Malah, beliau memenangi pilihan raya lalu dengan majoriti yang amat tipis. Penyokong memuji program sosialnya yang berjaya mengeluarkan jutaan rakyat daripada kemiskinan.

Namun, pengkritik pula yang mengambil kira bahawa parti PT yang sudah memerintah sekitar 17 daripada 24 tahun kebelaka­ngan ini menegaskan masalah seperti jenayah dan rasuah masih berlarutan.

Perlembagaan Brazil membenarkan seseorang presiden memegang jawatan selama dua penggal berturut-turut. Selepas berehat satu penggal, mereka boleh bertanding semula tanpa had jumlah penggal sepanjang hayat.

Pesaing utama tokoh berusia 80-an itu dalam pilihan raya ialah Flavio Bolsonaro, anak sulung bekas presiden berhaluan kanan jauh, Jair Bolsonaro.

Senator berusia 45 tahun itu mengambil alih peranan tersebut selepas bapanya disabitkan bersalah kerana merancang rampasan kuasa bagi menghalang Lula daripada mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2023. Keluarga Bolsonaro merupakan sekutu rapat Trump. – AFP

 

The post Presiden Brazil berusia 80 tahun umum pertahan jawatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved