Presiden China Mulakan Lawatan Di Malaysia Bermula Esok, Bincang Kerjasama 2 Hala

LocalPolitics
14 Apr 2025 • 11:23 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Pasti ramai di kalangan rakyat Malaysia yang sudah mengetahui bahawa Presiden China, Xi Jinping akan mengadakan lawatan ke negara ini bermula esok.

Pelbagai persiapan rapi juga telah dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa dalam menerima kunjungan berkenaan.

Bahkan pihak berkuasa turut mengumumkan penutupan sementara beberapa jalan di Lembah Klang dan Putrajaya sempena lawatan Presiden China itu.

Bagaimanapun, pasti masih ada yang tertanya-tanya apakah tujuan beliau ke negara ini dan apakah perbincangan yang akan berlaku nanti.

Presiden China hadir atas kunjungan Sultan Ibrahim

Menerusi satu kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini (14 April), Xi akan mengadakan lawatan di Malaysia selama tiga hari iaitu bermula esok (15 April) sehingga 17 April.

Beliau hadir atas undangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim dan akan diiringi oleh menteri-menteri Kabinet serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan China.

image is not available

Menurut kenyataan itu, Xi akan disambut dengan istiadat sambutan negara dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas YDPA di Istana Negara.

“YDPA Sultan Ibrahim juga berkenaan meraikan Xi dan delegasi dalam satu majlis santapan negara,” tulis kenyataan itu.

Xi bakal bertemu Anwar, bincang kerjasama dua hala dan bertukar-tukar pandangan

Menurut Kementerian Luar itu lagi, Xi juga dijadualkan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau serta antarabangsa berkepentingan bersama.

image is not available

“Kedua-dua pemimpin seterusnya akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman, Perjanjian, dan Nota antara Malaysia dengan China.

“Anwar akan turut menghoskan satu majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana untuk meraikan Xi,” tulisnya lagi.

Malaysia kekal komited majukan Perkongsian Strategik Komprehensif

Sebagai Pengerusi ASEAN dan Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia kekal komited untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan China melalui dialog, kesalingpercayaan serta inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat ASEAN dan China.

“Selama 16 tahun berturut-turut sejak tahun 2009, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.

“Jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM484.12 bilion pada tahun 2024 yang menyumbang kepada 16.8% nilai perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion),” tulis kenyataan itu lagi.

Hubungan diplomatik Malaysia dan China terjalin sejak 31 Mei 1974

Hubungan diplomatik Malaysia dan China telah terjalin sejak 31 Mei 1974 di mana kedua-dua negara telah meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 2024.

Lawatan terbaharu ini merupakan sebahagian daripada siri pertama lawatan negara oleh XI pada tahun 2025.

Kali terakhir beliau melawat Malaysia adalah pada 2013 lalu, di mana kedua-dua negara telah menaiktaraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Untuk info, pada 2023 lalu, Anwar ada bertemu Xi semasa beliau mengadakan lawatan rasmi ke negara terbabit.

Kedua-dua pemimpin negara itu menyentuh persoalan mustahak terkait hubungan akrab Malaysia-China serta beberapa isu melibatkan hubungan dagang, ekonomi selain menyentuh projek-projek pembangunan untuk rakyat.

Source: