Presiden FDAM ‘Mat London’ Meninggal Dunia

14 Jul 2023 • 12:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mat London - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini pada kira-kira 5.57 pagi tadi.

Mengesahkan perkara tersebut, anaknya Salmany Akir Ahmad, 42, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 74 tahun, akibat jangkitan paru-paru selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 16 Jun.

Beliau berkata jenazah bapanya akan dibawa ke Masjid Al-Mardhiyah Taman Melawati pagi ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Taman Melawati selepas solat Jumaat.

Salmany berkata Allahyarham merupakan seorang bapa yang penyayang dan sering memastikan keluarganya berkumpul ketika majlis atau perayaan, meskipun anak-anak duduk berasingan.

“Saya duduk paling dekat dengan arwah, jadi kalau arwah tiada apa-apa aktiviti kami akan pergi minum bersama. Arwah seorang bapa yang penyayang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Salmany Akir berkata Allahyarham seorang seniman yang sentiasa menjaga kebajikan rakan industri kreatif dan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19, beliau berjuang untuk memastikan anak seni terus dibenarkan berkarya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved