
Presiden Filipina Isytihar Darurat Tenaga Gangguan Bekalan Minyak
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. telah mengisytiharkan darurat tenaga gangguan bekalan minyak susulan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga.
The Straits Times melaporkan konflik berterusan di Timur Tengah mencetuskan lonjakan harga minyak global serta gangguan rantaian bekalan.
Pengisytiharan itu memberi kuasa kepada kerajaan untuk melaksanakan tindakan segera dan bersepadu bagi memastikan bekalan bahan api, makanan serta keperluan asas lain mencukupi, selain membendung kesan ekonomi akibat kenaikan harga minyak yang mendadak.
Menurut pihak berkuasa, Filipina yang bergantung tinggi kepada import petroleum kini berdepan risiko gangguan bekalan, dengan konflik di Timur Tengah turut menjejaskan laluan penting perdagangan minyak global.
Kerajaan turut memperkenalkan beberapa langkah kecemasan, termasuk pemantauan aktiviti penyimpanan dan manipulasi harga bahan api, penyediaan bantuan kepada sektor pengangkutan, serta mengatur semula penggunaan tenaga bagi mengurangkan tekanan terhadap bekalan.
Filipina mengimport hampir keseluruhan keperluan bahan api
Dalam pada itu, peningkatan harga minyak global akibat konflik berkenaan terus membimbangkan banyak negara, yang kini giat mencari sumber tenaga alternatif bagi mengelakkan kesan lebih buruk terhadap ekonomi masing-masing.
Difahamkan, Filipina mengimport hampir keseluruhan keperluan bahan apinya, sekali gus menjadikan negara itu amat terdedah kepada sebarang gangguan di laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz.
Perintah yang ditandatangani oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr. itu menggerakkan tindak balas bersepadu kerajaan bagi menstabilkan bekalan bahan api, selain mengehadkan kesan rantaian terhadap sektor pengangkutan, bekalan makanan dan tenaga elektrik.
Langkah-langkah yang diperkenalkan termasuk pemberian subsidi bahan api kepada sektor-sektor penting seperti pemandu pengangkutan awam, selain pemantauan lebih ketat bagi mengelakkan aktiviti penyorokan dan pencatutan.
Kerajaan turut mempercepatkan kelulusan projek-projek tenaga sebagai usaha memastikan kestabilan bekalan serta mengurangkan tekanan terhadap sistem tenaga negara.
Menyasarkan untuk mengumpul sehingga 2 juta tong
Perintah eksekutif itu turut membolehkan kerajaan memperkemas proses perolehan serta menggerakkan sumber dengan lebih pantas, selain memperkukuh kerjasama dengan sektor swasta bagi menjamin bekalan dan memastikan penjanaan elektrik kekal stabil.
Menteri Tenaga, Sharon Garin berkata Filipina masih mempunyai kira-kira 45 hari bekalan bahan api.
Namun, kerajaan memperuntukkan kira-kira 20 bilion peso (kira-kira RM1.7 bilion) bagi membina rizab penimbal diesel susulan ketidaktentuan yang berpunca daripada krisis di Timur Tengah.
Dalam pada itu, Filipina menyasarkan untuk mengumpul sehingga dua juta tong, yang bersamaan kira-kira tambahan 10 hari bekalan.
Sebanyak satu juta tong pertama kini sedang diperoleh dari dalam serta luar rantau Asia Tenggara.
Baca juga:

