
BAITULMUQADDIS: Lebih seminggu selepas Israel mengadakan pilihan raya pertama sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, Presiden Isaac Herzog mula mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti bagi menentukan sama ada Perdana Menteri sementara, Benjamin Netanyahu atau pencabarnya, Gadi Eisenkot akan diberi peluang pertama membentuk kerajaan di negara yang berpecah belah itu.
Susulan tiada satu pun blok memperoleh majoriti dalam parlimen yang mempunyai 120 kerusi selepas pengundian pada 27 Oktober, Herzog berkata, kedua-dua pihak perlu menerima hakikat bahawa tidak semua komitmen dan janji dapat ditunaikan serta mengelakkan pilihan raya baharu.
“Dalam realiti semasa, apabila tiada pemenang jelas selepas pilihan raya, saya meminta semua pihak mengetengahkan idea baharu dan kreatif, keberanian serta niat baik supaya negara Israel muncul sebagai pemenang,” kata Herzog.
Pilihan raya itu menyaksikan peningkatan ketara sokongan terhadap gabungan parti daripada minoriti Arab, yang merupakan keturunan rakyat Palestin dan kekal di Israel selepas penubuhan negara itu pada 1948 serta sering berang dengan retorik keras selain tindakan kerajaan berhaluan kanan Netanyahu.
Tanpa menyebut mana-mana pemimpin, Herzog yang peranannya lazimnya bersifat istiadat berkata, beliau mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap masyarakat Arab, yang membentuk kira-kira 20 peratus penduduk Israel.
“Saya mengecam kata-kata kasar dan ungkapan berbaur perkauman yang kita dengar baru-baru ini,” katanya.
Herzog akan mengadakan rundingan awal selama dua hari sebelum memberikan tempoh 28 hari kepada calon untuk membentuk kerajaan, dengan kemungkinan lanjutan 14 hari.
Eisenkot, bekas ketua tentera yang mendapat sokongan sebuah parti Arab utama, berikrar untuk mempererat kerjasama Amerika Syarikat (AS)-Israel merentasi garis kepartian dan bekerjasama dengan Presiden Donald Trump bagi menstabilkan rantau ini sekiranya dipilih sebagai perdana menteri.
Netanyahu pula mendakwa terdapat syak wasangka serius bahawa negara asing telah membelanjakan sejumlah besar wang untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya di Israel.
Perdana menteri itu melancarkan serangan politik terhadap gabungan parti yang majoritinya diwakili masyarakat Arab, yang berpotensi membolehkan Eisenkot berkuasa jika mereka bergabung.
Netanyahu merujuk kepada penahanan beberapa individu yang membawa sampul berisi wang pada hari pilihan raya dalam insiden disifatkan pihak berkuasa sebagai kes terpencil, selain menuduh pemimpin menerima wang daripada Qatar, dakwaan yang turut dilemparkan terhadap pembantu perdana menteri itu sendiri. – AFP
The post Presiden Israel akan tentukan sama ada Benjamin, Eisenkot jadi PM appeared first on Utusan Malaysia.




