Presiden Israel pilih Eisenkot bukan Netanyahu jadi PM

WorldPolitics
8 Nov 2026 • 9:09 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Presiden Israel pilih Eisenkot bukan Netanyahu jadi PM

TEL AVIV: Presiden Israel, Isaac Herzog, melantik Gadi Eisenkot, pencabar utama Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, untuk membentuk kerajaan baharu selepas pilihan raya umum negara itu gagal menghasilkan majoriti jelas bagi mana-mana pihak.

Netanyahu, pemimpin paling lama berkhidmat di Israel, kini berdepan cabaran untuk mengekalkan kuasa selepas gabungan nasionalis agamanya kehilangan majoriti dalam pilihan raya pada 27 Oktober lalu, meskipun masih muncul sebagai blok terbesar di Parlimen.

Blok pembangkang yang menentang Netanyahu dan diketuai Eisenkot, bekas ketua tentera, sebelum ini menolak kerjasama dengan parti-parti Arab yang berpotensi membantunya memperoleh majoriti.

Bagaimanapun, pemimpin Arab yang tidak berpuas hati dengan dasar Netanyahu dan sekutu berhaluan kanannya yang disifatkan sebagai rasis, tetap menyokong pencalonan Eisenkot ketika mengadakan rundingan panjang dengan presiden.

Jurucakap Herzog berkata, Eisenkot akan dipanggil ke Kediaman Presiden bagi menerima mandat untuk membentuk kerajaan baharu esok.

“Presiden Herzog telah menjemput Gadi Eisenkot ke Kediaman Presiden, di mana beliau akan diberikan tanggungjawab membentuk kerajaan esok,” katanya.

Presiden Israel yang kebanyakannya memainkan peranan istiadat bertanggungjawab mencalonkan individu untuk membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya.

Pelantikan Eisenkot dijangka disusuli rundingan berlarutan selama beberapa minggu. Beliau diberi tempoh 28 hari untuk membentuk kerajaan, dengan kemungkinan lanjutan selama 14 hari.

Antara pilihan yang boleh digunakan untuk memperoleh kuasa termasuk membentuk kerajaan minoriti dengan sokongan parti-parti Arab dari luar gabungan, menjalin kerjasama dengan parti ultra-Ortodoks yang sebelum ini ditolak beliau dan sekutunya, atau membentuk kerajaan perpaduan bersama Netanyahu.

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat ketiga-tiga pilihan itu sukar direalisasikan.

Sekiranya Eisenkot gagal membentuk kerajaan, calon lain boleh diberi peluang untuk mencuba, sebelum Parlimen mencalonkan individu seterusnya jika usaha itu turut menemui kegagalan.

Keseluruhan proses berkenaan tertakluk kepada tempoh kira-kira 100 hari.

Jika tiada calon berjaya membentuk kerajaan dalam tempoh ditetapkan, pilihan raya baharu perlu diadakan.- AGENSI

The post Presiden Israel pilih Eisenkot bukan Netanyahu jadi PM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved