Presiden Mahkamah Rayuan Disandang Zabariah Yusof

LocalPolitics
4 Jul 2025 • 11:45 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Yusof mengisi kekosongan jawatan Presiden Mahkamah Rayuan setelah penyandangnya, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim mengumumkan persaraan, semalam.

Zabariah Yusof, Presiden Mahkamah Rayuan baharu

image is not available

Foto: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia

Memetik laporan Berita Harian, Pemangku Ketua Hakim Negara, Tan Sri Hasnah Hashim memberitahu Zabariah akan mula menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan setelah jawatan itu diisi secara hakiki.

Terdahulu media melaporkan, dalam surat bertarikh hari ini Hasnah menjelaskan pelantikan itu dibuat sesuai mengikut Seksyen 9(3)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Peruntukan menyatakan setelah jawatan presiden itu dikosongkan, seorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh melaksanakan tugas dan fungsinya.

Dalam pada itu, salinan surat berkenaan turut dihantar kepada Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Zamri Bakar dan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Jumirah Marjuki.

Difahamkan dua orang hakim telah mengesahkan penerimaan surat tersebut pada awal pagi ini.

image is not available

Foto: News Straits Times

Semalam, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mendedahkan Hasnah akan menggantikan jawatan Ketua Hakim Negara ekoran persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada Selasa.

Hasnah yang genap 66 tahun pada 14 Mei, umur persaraan wajib untuk hakim diberikan tempoh enam bulan lanjutan masa untuk kekal bertugas sehigga 14 November ini.

Manakal Zabariah pula genap 66 tahun pada 10 April dan turut diberikan lanjutan enam bulan tempoh perkhidmatan.

Untuk rekod, April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik beliau sebagai ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi tempoh enam bulan selaras dengan Seksyen 5(1)(e) Akta JAC.