Presiden Palestin Gesa PBB Gantung Keanggotaan Israel

16 May 2023 • 2:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mahmoud Abbas juga mendakwa Britain dan Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab ke atas peristiwa Nakba pada 1948 yang mengakibatkan penderitaan rakyat Palestin sehingga hari ini - Gambar AFP

NEW YORK - Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Selasa menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggantung keahlian Israel dalam badan dunia itu kecuali ia menghormati komitmennya untuk melaksanakan resolusi PBB yang berkaitan, lapor Xinhua.

Jumlah resolusi berkaitan Palestin yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB, Majlis Keselamatan dan Majlis Hak Asasi Manusia adalah "kira-kira 1,000", kata Abbas pada mesyuarat khas peringkat tinggi sempena memperingati ulang tahun ke-75 Nakba, juga dikenali sebagai Malapetaka Palestin.

"Sehingga kini, tiada satu resolusi pun dilaksanakan. Oleh itu, kami secara rasmi menuntut hari ini, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi antarabangsa untuk memastikan Israel menghormati resolusi ini atau menggantung keahlian Israel dalam PBB, terutamanya sejak Israel tidak pernah menunaikan kewajipannya dan prasyarat untuk menjadi ahli dalam pertubuhan ini," katanya.

Presiden Palestin itu juga mendakwa Britain dan Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab ke atas peristiwa Nakba pada 1948 yang mengakibatkan penderitaan rakyat Palestin sehingga hari ini.

"Britain dan AS secara khusus memikul tanggungjawab politik dan etika secara langsung untuk Nakba rakyat Palestin kerana mereka mengambil bahagian dalam menjadikan rakyat kita mangsa apabila memutuskan untuk menubuhkan dan meletakkan entiti lain di tanah air kita yang bersejarah untuk matlamat dan objektif penjajah mereka sendiri.

"Dan Israel tidak akan meneruskan permusuhan dan pencerobohannya tanpa sokongan yang diterima daripada kedua-dua negara ini," kata Abbas

Hari Nakba pada 15 Mei adalah untuk mengingati pengusiran ratusan ribu rakyat Palestin dari kediaman dan tanah air mereka pada 1948 selepas penubuhan Israel. - Bernama-Xinhua

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved