Presiden Pertiwi Munirah Abdul Hamid meninggal dunia

4 Sep 2023 • 4:34 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi) Datuk Munirah Abdul Hamid (gambar), yang juga pengasas Soup Kitchen Pertiwi, meninggal dunia pada usia 73 tahun hari ini.

Menurut anak saudara Allahyarham, yang juga bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Munirah menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 4 pagi tadi di rumahnya di Bangsar.

“Allahyarham tidak sihat sejak setahun lepas kerana beliau merupakan pesakit kanser. Beliau meninggal dunia dengan tenang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jenazah Allahyarham selamat dikafankan dan disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada 11 pagi.

Allahyarham Munirah meninggalkan suami, Abdul Karim Hercus, 75, anak lelaki Adlan Hercus, 49, dan anak perempuan Baida Jane Hercus, 46.

Khairy berharap mereka yang telah menjadi sukarelawan di bawah Kitchen Soup Pertiwi akan terus berbuat demikian demi mengekalkan legasi Allahyarham.

“Saya rasa apa yang Allahyarham mahukan adalah orang ramai tidak bersedih kerana ketiadaan beliau, sebaliknya terus memberi khidmat kepada gelandangan dan mereka yang kelaparan. Tolong teruskan legasi ibu saudara saya dengan hadir ke Soup Kitchen,” katanya.

Pertiwi ialah pertubuhan kebajikan berorientasikan projek yang ditubuhkan pada 22 Sept 1967, khusus bagi menangani kebajikan dan keperluan wanita serta kanak-kanak, selain turut memainkan peranan penting dalam memberi pelbagai bantuan termasuk melobi untuk hak wanita di Malaysia, mendidik, membimbing dan memperkasakan wanita. -Bernama