Presiden Xi berharap China, S’pura fokus kepada kerjasama berkualiti

18 Nov 2022 • 4:47 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BANGKOK: China mengalu-alukan penglibatan Singapura dalam usaha negara Tembok Besar itu ke arah membentuk paradigma pembangunan baharu.

Demikian kata Presiden Xi Jinping (gambar) ketika bertemu dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-29 di sini, pada Khamis.

Beliau berkata ‘kualiti tinggi’ harus diterapkan menjadi ciri utama kerjasama kedua-dua negara.

“Kita (China dan Singapura) perlu memastikan projek ikonik pembangunan berkualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) iaitu Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu dilaksanakan secara mantap.

“Usaha menaik taraf projek kerjasama membabitkan pendigitalan dan pembangunan hijau perlu terus dipergiatkan,” kata Xi.

Beliau turut berharap agar rundingan lanjutan mengenai penaiktarafan perjanjian perdagangan bebas (FTA) China-Singapura dapat siap secepat mungkin.

“Selain itu, langkah perlu diambil untuk meningkatkan tahap liberalisasi perdagangan dan pelaburan, dan memudahkan pergerakan rentas sempadan,” kata beliau.

Beliau juga menzahirkan hasrat untuk bersinergi dengan Singapura ke arah kemajuan baharu dalam memperkukuh perkongsian kerjasama menyeluruh seiring peredaran zaman.

Lee dalam ucapannya pula berkata Singapura akan terus menyumbang kepada penaiktarafan tiga projek antara kerajaan membabitkan Suzhou, Tianjin dan Chongqing serta projek Guangzhou Knowledge City (3+1).

Menurut beliau Singapura bersikap positif terhadap pembangunan China dan sedia mengambil bahagian dalam Inisiatif Pembangunan Global (GDI) yang disarankan Xi.

“Kebangkitan China tidak boleh dihalang. China yang kuat dan mesra akan membawa impak positif kepada rantau dan dunia.

“Ia juga membantu negara kecil dan sederhana mencapai pembangunan bersama,” kata Lee.-Bernama

View Original Article