Prestasi Buruk PRU-15, Tun M Letak Jawatan Pengerusi PEJUANG

Politics
17 Dec 2022 • 7:03 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Mahathir Mohamad - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pada Rabu lalu.

Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu disahkan bekas calon PEJUANG bagi kerusi Parlimen Tanjong Karang, Azlan Sani Zawawi atau nama popularnya Lando Zawawi Brotherhood.

“(Memang) benar. Beliau beritahu kami Rabu lepas,” katanya.

image is not available
Lando Zawawi mengesahkan bahawa Dr Mahathir telah meletak jawatan sebagai Pengerusi PEJUANG, Rabu lalu.

Bagaimanapun, apabila ditanya lebih lanjut mengenai punca pemimpin berusia 97 tahun itu meletak jawatan dalam parti diasaskan beliau, Lando berkata, dia tidak tahu mengenainya.

“Kami tidak tanya. Kami menghormati keputusan beliau,” katanya.

Sementara itu, Buletin TV3 turut melaporkan mengenai peletakan jawatan tersebut.

Ia melaporkan sumber parti itu sebagai berkata, Dr Mahathir akan kekal sebagai Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA).

Setakat ini, tiada pengumuman secara rasmi dikeluarkan oleh parti itu mengenainya.

Peletakan jawatan Dr Mahathir dibuat susulan prestasi buruk GTA pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November lalu.

Parti itu gagal memenangi sebarang 125 kawasan yang dipertandingkan, malah ramai calonnya kehilangan wang deposit mereka.

Dr Mahathir sendiri kalah teruk di tangan calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 13,518 undi, malah beliau sekadar meraih 4,566 undi.

Anaknya, yang juga Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta calon GTA lain juga mengalami kekalahan teruk, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada parti itu akan terus bertahan sebagai entiti politik selepas PRU-15.

image is not available
Dr Mahathir kalah teruk di tangan calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 13,518 undi pada PRU-15 lalu.

Empat hari selepas PRU-15, Dr Mahathir akhirnya membuka mulut menyatakan kesedihan beliau apabila partinya itu mengalami kekalahan besar.

Beliau bagaimanapun mengakui kekalahan PEJUANG di semua 125 kawasan ditandinginya bermakna parti itu tidak dapat berperanan sebagai pembangkang dalam Dewan Rakyat.

Justeru, katanya, segala perancangan diatur PEJUANG untuk negara terpaksa digugurkan dan parti itu akan menyokong pemerintahan yang menang.

"PEJUANG berdoa siapa juga yang menjadi kerajaan akan dapat memulihkan segala masalah yang akan dihadapi oleh negara.

"Saya sendiri akan tumpu kepada penulisan berkenaan sejarah dan aktiviti dalam negara.

"Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British.

"Saya juga terbuka untuk ditemuduga oleh penulis," katanya. – The Vibes, 17 Disember 2022