Prestasi CIMB pada FY23 melangkaui jangkaan disokong pertumbuhan kukuh NOII - Penganalisis

Business & Finance
1 Mar 2024 • 10:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi CIMB pada FY23 melangkaui jangkaan disokong pertumbuhan kukuh NOII - Penganalisis

diyana

01/03/2024 - 10:59

KUALA LUMPUR 1 Mac - Kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia, CIMB Group Holdings Berhad mencatat prestasi mantap pada tahun kewangan 2023 (FY23), menjangkaui jangkaan RHB Investment.

Disokong pendapatan bukan faedah (NOII) yang kukuh, hasil kewangan kumpulan dalam tahun kewangan 2023 (FY23) memberi kejutan positif dengan membentuk anggaran tahun firma penyelidikan itu dan konsensus masing-masing sebanyak 108% dan 104%.

Ini mendorong RHB Investment untuk menyemak naik unjuran pendapatannya bagi FY24-25 sebanyak 9% hingga 10% dan mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM7.35 sesaham daripada RM6.88 sebelumnya.

Firma berkata, kumpulan itu menyasarkan pulangan atas ekuiti (ROE) 11% hingga 11.5% selepas mengambil kira pemampatan margin faedah bersih (NIM).

“Tumpuan tahun ini adalah mengurus kos pembiayaan, yang dijangka menyokong NIM untuk berkembang stabil sebanyak lima mata asas. Sama seperti beberapa kumpulan perbankan lain, ia melihat permintaan pinjaman yang sihat tetapi akan sanggup mengorbankan volum untuk mengekalkan NIM.

“Oleh itu, pertumbuhan pinjaman 2024 disasarkan antara 5% dan 7%, dengan Malaysia dan Indonesia berkembang dalam julat sasarannya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma itu menambah bahawa CIMB yakin nisbah pembayaran dividen 55% boleh dikekalkan, tetapi ia merancang untuk melihat semula perkara ini jika ada ruang untuk mengoptimumkan modal lagi.

RHB Investment berkata, CIMB masih pilihan utamanya bagi sektor perbankan, di mana sahamnya berprestasi baik setakat tahun ini dan penilaian saham itu tidak mahal memandangkan nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) pada 0.97 kali berbanding ROE FY24 sebanyak 10.9%.

“Kami melihat ruang untuk momentum selanjutnya disokong semak naik unjuran pendapatan konsensus, peningkatan kualiti aset dan potensi pulangan modal selanjutnya daripada inisiatif pengoptimuman modal, antara lain,” katanya.

Prestasi CIMB pada FY23 turut memberi kejutan positif kepada Maybank Investment Bank (Maybank IB) dengan membentuk anggaran tahun penuh firma dan konsensus masing-masing sebanyak 105% dan 103%.

“Kami meningkatkan pendapatan FY24-26 masing-masing sebanyak 6%, 4% dan 4%, terutamanya untuk mengambil kira NOII yang lebih tinggi.

“Ramalan ROE kami sebanyak 10.5% untuk FY24 di bawah sasaran pengurusan sebanyak 11% hingga 11.5%. Kami telah mengandaikan nisbah pembayaran sebanyak 55% pada masa akan datang,” katanya.

Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM7.40 daripada RM6.70 sebelumnya. - DagangNews.com