
PETALING JAYA: Keputusan kerajaan mengembalikan had kelayakan bulanan Budi Madani RON95 (BUDI95) dan Budi Madani Diesel (BUDI Diesel), dibuat selepas mengambil kira prestasi ekonomi dan kemampuan kewangan negara.
Kementerian Kewangan berkata, antara faktor lain diambil kira sebelum mengambil keputusan itu adalah disebabkan pengurusan bekalan yang semakin tersusun serta penguatkuasaan yang lebih tegas.
“Langkah ini turut mengambil kira keperluan rakyat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk urusan harian dan peniaga kecil yang bergantung pada kenderaan untuk mencari rezeki.
“Kerajaan Madani akan terus memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, sambil memperkukuh usaha membendung ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan terus memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, sambil memperkukuh usaha membendung ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju mengembalikan had kelayakan asas Budi Madani dinaikkan semula daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan mulai esok.
Pelarasan itu akan dilaksanakan secara automatik kepada penerima BUDI95 dan BUDI Diesel, tertakluk kepada kelayakan masing-masing.
Seramai 16 juta pengguna menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter. Daripada jumlah pengguna tersebut, lebih 700,000 pengguna layak untuk turut menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.
Sementara itu, Kementerian Kewangan memaklumkan bagi lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak, mereka boleh membuat permohonan bagi tambahan kelayakan sebanyak 100 liter sebulan.
“Dengan tambahan tersebut, jumlah kelayakan bulanan mereka dapat ditingkatkan daripada 300 liter kepada 400 liter,” katanya
Pemilik pikap dan jip yang layak tetapi belum memohon tambahan tersebut boleh berbuat demikian melalui portal Budi Madani di www.budimadani.gov.my. – UTUSAN
The post Prestasi ekonomi, kemampuan kewangan faktor had Budi Madani dikembalikan appeared first on Utusan Malaysia.






![[INFOGRAFIK] PM umum enam ikhtiar untuk rakyat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/08/30/3631402.webp)