Prestasi kewangan DNeX bertambah baik bagi 2QFY25 dengan untung bersih meningkat RM19.9 juta

28/08/2025 - 18:16
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Dagang NeXchange Berhad (DNeX) mengumumkan prestasi kewangan yang bertambah baik bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) dengan keuntungan bersih meningkat kepada RM19.9 juta berbanding RM5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM9 juta berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM16.4 juta pada 2QFY24.
Segmen IT dan Tenaga Jadi Pemacu
Segmen IT mencatatkan pemulihan kukuh dengan PBT sebanyak RM15.5 juta berbanding hanya RM0.2 juta pada 2QFY24, didorong oleh pengurangan perbelanjaan operasi hasil daripada pengoptimuman kos yang berkesan.
Hasil bagi segmen ini adalah RM40.4 juta berbanding RM49.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu, selaras dengan penjualan perniagaan Subsea Telco awal tahun ini.
Segmen tenaga pula melonjak dengan PBT RM24.9 juta, lebih dua kali ganda berbanding RM12 juta tahun lalu.
Pencapaian ini disokong oleh keuntungan pertukaran asing yang belum direalisasi dan kos kewangan yang lebih rendah susulan penyelesaian penuh bon tertunggak.
Hasil bagi segmen ini menurun kepada RM66.9 juta berbanding RM91.9 juta sebelum ini akibat harga minyak mentah yang lebih rendah dan pengurangan jumlah pengeluaran menjelang penyelenggaraan berjadual.
Bagaimanapun, jumlah pengeluaran meningkat 14%, dengan lebihan dijangka dikutip pada suku berikutnya.
Sementara itu, segmen semikonduktor mencatat LBT yang lebih tinggi sebanyak RM28.9 juta berbanding RM18.7 juta sebelumnya akibat gangguan bekalan elektrik yang tidak dijangka pada Mei 2025, yang menjejaskan operasi SilTerra di Kulim Hi-Tech Park.
Hasil segmen kekal stabil pada RM155.3 juta berbanding RM156.2 juta pada 2QFY24, apabila jumlah penghantaran yang lebih rendah diimbangi oleh harga jualan purata yang lebih tinggi.
Segmen ini juga menyaksikan momentum kukuh dalam teknologi baharu, menyumbang 45% daripada campuran hasil berbanding 20% tahun sebelumnya.
Dalam suku ini, Kumpulan melaporkan pemansuhan liabiliti cukai tangguh sebanyak RM7.1 juta berkaitan Skim Cukai Keuntungan Tenaga UK (EPL).
Untuk separuh pertama FY25, liabiliti cukai tangguh terkumpul berjumlah RM100.7 juta berikutan lanjutan EPL oleh kerajaan UK selama dua tahun hingga Mac 2030. Pelarasan ini dijangka memberi kredit cukai pada masa depan.
Sehingga 30 Jun 2025, DNeX mengekalkan kedudukan tunai bersih dengan baki RM533.1 juta, jumlah aset RM4.1 bilion dan ekuiti RM2.1 bilion.
Mengulas mengenai keputusan tersebut, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan DNeX, Vinie Chong Pui Ling berkata, syarikat mengekalkan momentum keuntungan dengan memanfaatkan struktur modal yang lebih kecil dan memaksimumkan prestasi operasi.
“Keutamaan strategik kami menumpukan pada memperkukuh keuntungan jangka panjang dan mewujudkan nilai lestari merentasi semua segmen perniagaan.
“DNeX tetap fokus untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, mengekalkan kadar penggunaan tinggi dan memperbaiki kecekapan operasi dalam segmen perniagaan semikonduktor.
“Permintaan kekal disokong oleh penerimaan pesat teknologi kecerdasan buatan generatif, kenderaan elektrik, tenaga boleh diperbaharui dan sektor pertumbuhan tinggi lain.
“Pada masa yang sama, Kumpulan sedang giat merancang kerjasama strategik untuk memanfaatkan peluang yang timbul daripada penyusunan semula rantaian bekalan serta memacu landskap perdagangan dan geopolitik yang berkembang,” katanya.
Dalam segmen tenaga, tumpuan kekal untuk meningkatkan kecekapan operasi, disiplin kos dan pengoptimuman portfolio dengan Ping Petroleum Limited menumpukan pada pengeluaran maksimum dari Anasuria Cluster, manakala di Malaysia, Kumpulan sedang bergerak ke arah pengeluaran minyak pertama dari Abu Cluster.
Anak syarikat hiliran DNeX, OGPC Group Sdn Bhd, terus menyokong rantaian nilai tenaga Malaysia dengan menyediakan penyelesaian bersepadu merentasi segmen minyak dan gas, petrokimia dan hiliran runcit.
Dalam segmen IT, DNeX mensasarkan peranan penting dalam transformasi digital Malaysia dengan lanjutan lima tahun kontrak Sistem Kewangan dan Pengurusan Bersepadu Kerajaan digabungkan dengan kerjasama strategik seperti Google Cloud yang akan mengukuhkan kedudukan DNeX sebagai penyedia infrastruktur awan berasaskan AI yang terkemuka dalam negara.- DagangNews.com
standard
