Prestasi kewangan Johor Plantations diunjur lebih kukuh pada separuh kedua 2024 - HLIB Research
herman
21/08/2024 - 12:55
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Prestasi kewangan Johor Plantations Group Berhad (JPG) dijangka lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24) berikutan pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan unjuran keuntungan bersih teras dengan saranan 'Beli; dan harga sasaran 99 sen sesaham ke atas JPG.
"Keuntungan bersih teras JPG pada 1H24 sebanyak RM96.6 juta (2.9x berbanding 1H23) secara umumnya berada dalam jangkaan kami – sebanyak 45.2% daripada anggaran penuh tahun kami.
"Kami mengekalkan unjuran kerana kami menjangkakan pengeluaran BTS yang lebih tinggi secara musiman akan mendorong prestasi yang lebih baik pada separuh kedua tahun 2024," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kata HLIB Research, JPG menetapkan sasaran pertumbuhan hasil BTS sebanyak 10% pada FY24 yang disokong terutamanya oleh keadaan cuaca yang baik dan kestabilan ketersediaan tenaga kerja.
Dalam perkembangan berkaitan, menurut firma penyelidikan itu, JPG dijangkakan melakukan aktiviti penanaman semula yang lebih agresif menjelang FY26.
"Pengurusan kekal dengan sasaran penanaman semula tahunan sebanyak 4% (daripada kawasan yang ditanam) untuk FY24-25, dan akan mempercepatkan program penanaman semula kepada 7% setahun mulai FY26.
"Tiada rancangan untuk menceburi perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE) lain, sekurang-kurangnya untuk masa ini.
"Pengurusan menyatakan perladangan akan kekal sebagai teras utama mereka dan tiada niat untuk menceburi perniagaan RE lain selain daripada biojisim yang dihasilkan dari loji biogas mereka," jelasnya.
JPG mencatatkan peningkatan untung bersih pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) sebanyak empat kali ganda kepada RM50.2 juta berbanding RM12.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat 34.9% kepada RM360.9 juta berbanding RM267.6 juta pada tahun lalu.
Menurut JPG, peningkatan hasil dan keuntungan itu didorong lonjakan sebanyak 31.2% daripada volum penghantaran minyak awit mentah (MSM) kepada 73,262 tan metrik berbanding 55,851 tan metrik pada 2QFY23. - DagangNews.com

